
Sunday, July 05, 2015
Sebarkan Cerita Bohong, Separa Bohong Berulang-ulang Kali Taktik Nazi
6 Julai 2015, Kuala Lumpur : Bekas Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat,
Ruslan Kassim menegaskan bahawa pihak pembangkang sebenarnya
menggunakan kaedah teori yang dipelopori oleh pakar propaganda nazi,
Jozef Goebbels dalam usaha mereka untuk memburukkan pimpinan BN dan
kerajaan sepertimana yang sedang berlaku hari ini.

Menurut Ruslan, teori tersebut ialah dengan mengulangi cerita bohong
atau separa bohong berkali-kali kepada rakyat sehinggakan cerita bohong
itu kemudiannya dianggap benar oleh rakyat.
“Kata Jozef Goebbels, menteri propaganda Nazi pada zaman Hitler :
‘Sebarkan kebohongan berulang-ulang kepada rakyat. Kebohongan yang
diulang-ulang, akan membuat rakyat akhirnya menjadi percaya’. Inilah
kaedah yang diguna pakai oleh pembangkang untuk memburukan imej UMNO dan
kerajaan.
“Biarpun maklumat tersebut tidak dapat dipastikan sejauh mana
kesahihannya, namun setelah diulang-ulang, maka akan ada juga rakyat
yang akan percaya dengan perkara tersebut, biarpun hakikatnya maklumat
itu tidak benar atau palsu semata-mata.
“Bagi pembangkang, apa juga maklumat, biarpun maklumat itu separa
benar atau pun tidak ada kebenaran langsung, jika dilihat ada keuntungan
politik bagi mereka di situ, maka mereka akan sebarkan. Samada ianya
benar atau tidak, itu soal kedua. Yang penting bina dulu persepsi rakyat
menggunakan maklumat itu,” tegasnya kepada UMNO-Online di sini hari
ini.
Tambah beliau lagi, pembangkang juga dengan licik memanipulasikan
fakta-fakta yang kemudiannya disebarkan kepada umum dan ianya dilakukan
hanyalah semata-mata untuk menimbulkan kekeliruan serta juga syak
wasangka di kalangan rakyat berhubung tindak tanduk kerajaan.
“Mereka kini sedang membina satu persepsi dengan skala besar di mana
apa saja yang tidak baik atau negatif akan dikaitkan dengan UMNO. Sebab
itu kita lihat bagaimana ejen-ejen propaganda mereka khususnya di media
sosial sentiasa cuba untuk menghubung kaitkan perkara-perkara negative
dengan UMNO dan kerajaan.
“Dan apa saja perkara-perkara yang positif akan mereka dikaitkan
dengan pihak pembangkang agar rakyat terpengaruh dengan permainan silap
mata itu sehingga melihat perkara yang tidak baik sebagai kebaikan,
manakala kebenaran itu sebagai satu penipuan,”ujarnya.
Sebab itu kata beliau, adalah amat penting bagi rakyat di negara ini
agar tidak menelan bulat-bulat apa saja dakwaan pihak pembangkang dan
wajib menyiasat terlebih dulu segala maklumat yang diperolehi.
“Sudah banyak kali terbukti bahawa maklumat yang disebarkan oleh
pihak pembangkang ternyata tidak benar. Bahkan, ada juga kepimpinan
pembangkang yang diseret ke mahkamah dan terbukti bersalah kerana
memfitnah.
“Strategi propaganda Nazi yang diguna pakai oleh pihak pembangkang
itu amat merbahaya kerana menjadi maklumat yang tidak sahih untuk
membina persepsi rakyat. Akibat amalan propaganda seperti inilah kita
dapat lihat hari ini begitu banyak fitnah yang bertaburan di media
sosial.
“Fitnah tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh membawa mudarat
yang besar sehingga boleh berlaku pertumpahan darah dan kehilangan
nyawa. Sebab itu, Islam menganggap perbuatan fitnah itu dosanya lebih
besar dari membunuh kerana ia boleh memberi kesan yang besar terhadap
sesebuah masyarakat dan negara,” jelasnya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment