Saturday, August 15, 2015

TPM Dakwa Terdapat Gerakan Guling Kerajaan Libatkan Tokoh Umno

KUALA LUMPUR : Terdapat individu yang sedang berusaha untuk mendapatkan akuan berkanun (SD) daripada kedua-dua belah parti politik dalam usaha untuk menggulingkan kerajaan, dakwa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, beliau telah menerima maklumat mengenai perkara ini daripada sumber yang sangat dipercayai.

"Orang itu adalah pemimpin Umno dan Barisan Nasional dan kini bekerjasama dengan 87 ahli parlimen pembangkang untuk menentang kerajaan.

"Hairannya ia diketuai seorang pemimpin dari UMNO dan BN. Saya tidak akan menyebut nama-namanya tetapi ia akan terdedah dengan sendirinya dan sebagai Menteri Dalam Negeri, saya tidak akan mengizinkan ianya berlaku," katanya pada mesyuarat Umno bahagian Ampang di sini, Sabtu.

Dr Ahmad Zahid berkata beliau menerima maklumat bahawa terdapat peguam sedang membuat persediaan untuk membentangkan kertas memorandum tujuh muka surat kertas kuning bersama dengan SD untuk membuktikan mereka mempunyai sokongan majoriti.

"Saya dapat cium bau ada usaha dilakukan tokoh tertentu dan didalangi tokoh tertentu untuk dapatkan akuan bersumpah dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang dan cuba menarik Ahli Parlimen BN untuk tumbangkan kerajaan sedia ada melalui pintu belakang.

"Mereka tidak boleh menunggu sehingga pilihan raya umum akan datang dan mereka cuba menggunakan pintu belakang.

"Saya tidak akan membiarkan ia terjadi," katanya. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment