EDITOR MENULIS...
28 MAC 2016
Di Shah Alam Convention centre telah berlangsung "Kongres Mahathir - Kit
Siang" yang menyaksikan kumpulan 'pemberontak UMNO', sekali lagi
bersekongkol berkongsi ideologi 'syok sendiri' sesama mereka dan
'menambah pahala' Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak.
Mereka adakan himpunan tertutup di dalam dewan, menjemput lebih kurang
1,200 orang yang umumnya tahu setiap hari menghentam Najib dengan
pelbagai tohmahan dan fakta tidak benar, dan menamakan ia sebagai
Kongres 'Rakyat'. Macamlah mereka 1,200 orang saja rakyat Malaysia ini?
Tohmahan yang sama diulang-ulang, cuma diselang-seli dengan lawak jenaka
yang mengembirkan hati mereka sahaja, mungkin itu saja isi kandungan
kongres berkenaan. Yang betulnya cuma 'assalamualaikum dan salam
sejahtera' manakala isi yang lain semuanya auta belaka.
Saya dapat menjangkakan kehadiran orang UMNO di program tersebut.
Antara yang hadir dan mengutuk Najib ialah Timbalan Presiden UMNO,
Muhyiddin Yasin yang sebelum ini kononnya berikrar mahu membantu
Presiden dan memelihara nama baik parti.
Seorang lagi ialah anak kesayangan Tun Mahathir Mohamad, Dato' Seri
Mukhriz Tun Mahathir.
Seperti Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz menghentam
Najib seperti mereka menyerang pembangkang. Tiada sedikit pun rasa
kesal atau bersalah pada riak wajah mereka.
Muhyiddin mahu Najib meletak jawatan seperti Pak Lah. Tersenyum ketika
menyuarakan kehendaknya itu, dia kononnya hanya mahu Najib jatuh dan
digantikan dengan orang lain. Macamlah orang tak tahu tradisinya, jika
Najib meletak jawatan maka Timbalan Presiden UMNO akan ambil alih
jawatan Perdana Menteri.
Patutnya, Muhyiddin bercakap terus terang di majlis itu. Katakan pada
hadirin bahawa dia mahu menjadi Perdana Menteri selama sepenggal selepas
Najib letak jawatan, sebelum jawatan itu diserahkan kepada Mukhriz.
Bukankah mudah begitu?
Selalunya, mereka yang tiada kepentingan akan keluar dari parti bila
menyedari diri mereka hilang kepercayaan pada Presiden. Sebagai contoh,
Mat Sabu dan konco-konconya. Mereka tidak yakin lagi pada Dato' Seri
Abdul Hadi dan mereka keluar parti, lalu menubuhkan parti sendiri.
Kenapa Muhyiddin dan Mukhriz tidak meletak jawatan? Mengapa mereka tidak
berterus terang bahawa ia adalah merupakan strategi mereka untuk
menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.
Sekiranya Muhyiddin naik menjadi Perdana Menteri, dia akan melantik
Mukhriz sebagai senator dan kemudian menjadi Timbalan Perdana Menteri
menggantikan tempat Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi. Maka sempatlah dia
'merasa' jadi Perdana Menteri sekejap.
Mengapa Mahathir keluar parti? Itu adalah demi menunjukkan
kesungguhannya mahu menggulingkan Najib, tapi bukan untuk dirinya. Dia
mahu jatuhkan Najib demi masa depan anaknya Mukhriz.
Selepas Muhyiddin naik jadi Perdana Menteri, maka Mukhriz akan jadi
Timbalan Perdana Menteri. Maka selepas itu Mukhriz akan jadi Perdana
Menteri ekoran umur Muhyiddin yang sudah hampir 80 tahun, atau akan
digulingkan jika enggan memberi laluan kepada Mukhriz.
Banyak 'rahsia' Muhyiddin yang Mahathir tahu sama ada di Johor mahupun
semasa menjadi menteri kabinet. Jika enggan dengar kata, maka nasib
Muhyiddin mungkin bakal menjadi seperti Pak Lah dan Najib.
Mungkin benar, Mahathir tidak akan tutup mata dengan tenang selagi
anaknya tidak menjadi Perdana Menteri. Mungkin kerana itulah Mahathir
tetap berusaha menggulingkan Najib dan sanggup berdiri lebih satu jam
untuk tujuan itu. Semuanya dilakukan demi Mukhriz.
Namun, apakah Mahathir jamin Mukhriz boleh jadi Perdana Menteri yang
baik? Mahathir sudah banyak kali tersalah pilih, apakah Mukhriz pilihan
yang tepat? Ketika menjadi Timbalan Menteri dulu, ramai yang merungut
Mukhriz tidak tahu buat kerja dan tidak membantu.
Ketika menjadi Menteri Besar Kedah atas ehsan Najib sebelum ini, dia
hanya popular berselfie sedangkan hampir tiada satu mercu tanda pun dari
hasil tangannya. Jika ada sekalipun, itu semua datang dari Kerajaan
Pusat dan bukan dari Mukhriz sendiri.
Mahathir mungkin sedar dan tahu bahawa Mukhriz juga seorang yang gagal
dalam politik. Sama ada di peringkat UMNO Bahagian mahupun di Pusat,
Mukhriz hanya gah pada hujung namanya 'Mahathir' sahaja. Jika 'Mahathir'
tiada nanti, tiada siapa mahu pandang...
Mahathir dan Mukhriz perlu sedar diri sendiri. Jika berprinsip, Mukhriz
perlu keluar dari UMNO dan jadi Adun Bebas di Ayer Hitam. Cara itu
barulah betul dan beretika. Jika tidak, maka kekallah dalam UMNO dan
tunggu saja pemilihan agung UMNO nanti...
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban