SUNGAI PETANI : Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar
secara terbuka menyelar pimpinan parti itu yang disifatkan tidak
berbuat apa-apa bagi membendung kemerosotan undi bukan Melayu, khususnya
pengundi Cina menjelang pilihan raya umum akan datang.
Lebih daripada itu, Mahfuz yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Kedah
mendakwa, respons Pas terhadap Gerakan Harapan Baru (GHB) memperlihatkan
kerisauan, kebimbangan dan ketakutan parti itu terhadap kemunculan
gerakan tersebut.
“Sehingga sekarang saya masih belum nampak sesuatu telah dilakukan (bagi
menarik sokongan bukan Melayu). Malah, saya lihat beberapa tindakan dan
kenyataan dibuat kepemimpinan Pas bakal mengundang kemerosotan
sokongan pengundi Islam dan Melayu itu sendiri.
“Kenyataan Pas yang mengecam GHB dan pimpinan mereka membuka ruang untuk
ahli Pas memberikan respon yang baik terhadap gerakan itu. Ini
menyebabkan berlakunya kemerosotan sokongan pengundi Melayu dalam
kalangan pimpinan dan ahli Pas sendiri di pelbagai peringkat,” katanya
dalam kenyataan di sini hari ini.
Melalui kenyataan itu, Mahfuz mendakwa setiap perkataan dihamburkan
sesetengah kepemimpinan Pas dan disiarkan di Harakah ibarat
'cirit-birit' mulut yang perlu segera diubati.
Menurutnya, kenyataan kepemimpinan Pas yang disiarkan Harakah kononnya
ancaman yang merosakkan Pas hadir daripada kalangan mereka yang pernah
terlibat dengan Majlis Perwakilan Islam (IRC), Pertubuhan Jamaah Islah
Malaysia (JIM) dan Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) menambah
kemerosotan sokongan undi Melayu Islam kepada Pas.
“Sebagai gerakan Islam, Pas boleh rasa syok sendiri kerana tiada siapa
lagi yang dianggap sebagai musuh dalam selimut parti itu. Namun bagi
menghadapi pilihan raya, Pas memerlukan undi dan sokongan daripada umat
Islam dan bukan Islam.
“Tindakan sebegini akan melukakan ahli-ahli Ikram yang mengundi Pas
kerana mereka telah digambarkan sebagai pengkhianat. Bukan saja mereka,
malah kumpulan Islam lain juga akan merasakan yang Pas tidak boleh
menerima kelainan fikrah daripada jemaah yang bukan terhasil daripada
tarbiah Pas,” ujarnya.
Tambahnya lagi, Pas tidak hanya boleh menyatakan hanya keredaan Allah yang penting dan bukannya kemenangan dalam pilihan raya.
"Kalau begitu, tidak perlulah Pas menyertai pilihan raya yang
menghabiskan wang dan cukup sekadar dengan program dakwah serta tarbiah
membangunkan ummah.
“Sedangkan, hakikat yang kita mahukan adalah politik kuasa diredai Allah.
“Terserahlah kepada pimpinan yang bijaksana untuk menerima atau menolak
pandangan saya ini.
Sekadar pandangan 10 sen daripada saya yang tidak
sebijak kepemimpinan yang ada kini,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
No comments:
Post a Comment