KUALA LUMPUR : Dalam keceriaan umat Islam meninggalkan ibu kota bagi
menyambut 1 Syawal di kampung halaman mereka, bandaraya Kuala Lumpur
menjadi ‘milik’ warga asing sempena Aidilfitri pertama hari ini.
Walaupun bukan lagi satu fenomena baharu saban tahun, namun lambakan
warga asing sentiasa menimbulkan rasa kurang menyenangkan dalam kalangan
warga kota dengan sikap kurang menjaga kebersihan kawasan sekitar.
Berdasarkan pemerhatian rambang oleh Bernama, puluhan ribuan warga asing
dari Bangladesh, Indonesia, India, Nepal, Myanmar dan Vietnam mengambil
kesempatan cuti umum untuk menyerbu beberapa kawasan tumpuan ramai.
Antara lokasi ‘panas’ kebanjiran warga asing ialah pusat beli-belah
Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Kota Raya, Pasar Seni dan kawasan
sekitar Bukit Bintang.
Bagaimanapun, kebanjiran warga asing turut menimbulkan masalah
kebersihan apabila tindakan mencemari kawasan sekitar merimaskan oleh
mereka yang melepak secara berkumpulan.
Seorang rakyat Malaysia, Nur Habib Hasinuddin, 42, berkata warga asing
terlalu ramai yang berkunjung ke ibu kota sehingga masyarakat tempatan
pula khuatir untuk bersiar-siar.
“Kita pula yang takut untuk keluar kerana mereka (warga asing) lebih
ramai daripada kita,” kata juruteknik kilang itu ketika ditemui di KLCC.
Beliau, yang bersama keluarganya datang dari Segamat, Johor bagi
menyambut Aidilfitri di ibu kota bagi kali pertama, berkata tidak pernah
membayangkan ibu negara yang dipenuhi dengan warga asing.
Sementara itu, bagi G.Arivalagan, 39, tindakan warga asing mengotorkan
bandar raya dengan antaranya meludah dan membuang sampah dan puntung
rokok di merata tempat mencacatkan pemandangan dan status Kuala Lumpur
sebagai ibu negara yang moden.
Kakitangan kerajaan itu berkata senario tersebut tidak harus berlaku
kerana ia boleh menyebabkan imej Malaysia tercalar di kaca mata
pelancong asing yang datang ke negara ini.
Beliau berharap pihak berkuasa memastikan warga asing yang datang ke
bandar raya sentiasa menghormati peraturan dan budaya tempatan.
Namun, bagi warga asing, cuti raya ini adalah masa terbaik bagi mereka
untuk bersiar-siar di ibu kota bersama rakan-rakan senegara berikutan
tidak mudah memperolehi cuti panjang.
Hudnar Nizjar, 27, berkata warga asing selalunya akan bertemu dengan
rakan senegara di ibu kota kerana ia merupakan destinasi yang mudah
dilawati dengan menggunakan pengangkutan awam.
Dipetik daripada sumber : Bernama

No comments:
Post a Comment