Monday, October 19, 2015

Ridhuan Tee Sindir MCA, Gerakan Gagal Tarik Sokongan Kaum Cina Tapi Tuntut Banyak Perkara

BANGI : Pendakwah bebas, Prof Madya Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah menyindir MCA dan Gerakan kerana masih menuntut bermacam-macam sedangkan parti itu gagal mendapat sokongan kaum Cina.

Beliau berkata, kedua-dua parti berkenaan mesti membuktikan bahawa mereka mendapat sokongan Cina, sebelum membuat pelbagai tuntutan.

Sehubungan itu, beliau menolak cadangan MCA supaya kerajaan mewujudkan Majlis Rekonsilasi Tadbir Urus Politik, Hal Ehwal Agama dan Perpaduan bagi menyelesaikan isu ketegangan kaum, perbezaan fahaman agama dan sosioekonomi masyarakat.

Ini kerana katanya, sudah wujud Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) yang memainkan peranan yang sama.

Dalam waktu yang sama, menurutnya, MCA juga mendesak mahu menubuhkan sebuah Bank Koperasi Kojadi bagi memperkasakan pembangunan ekonomi dan transformasi secara berkesan.

“Tak puas lagi dengan apa yang ada? Apa lagi MCA mahu?

“Bayangkan selepas ini semua parti BN mahu menubuhkan bank koperasi, apakah kerajaan juga akan tunduk?,” katanya.

Beliau yang popular dengan panggilan Ustaz Ridhuan Tee mencadangkan supaya jutawan-jutawan MCA membantu orang Cina yang lainnya.

“Bayangkan daripada 40 terkaya di Malaysia, hampir 30 ialah orang Cina, masih tidak mampukah untuk bantu orang Cina yang lain sehingga terpaksa tubuh bank?

Ridhuan menyoalkan kenapa puak ini terlalu ultra kiasu apabila hari ini kerajaan sibuk untuk mengecilkan bilangan bank tetapi MCA sebaliknya mahu menambah bank.

“Janganlah terlalu fokus kepada ekonomi sangat kerana kedudukan orang Cina secara puratanya sudah teguh.

“Jika mahu fokus pun, tumpukan kepada Cina yang masih gelandangan atau mereka yang berpendapatan RM3,000 ke bawah.

“Tidak perlu menyenangkan lagi yang sudah kenyang,” katanya. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment