
SEPANG : Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri
Noh Omar mempersoalkan keikhlasan kerajaan Selangor untuk menyelesaikan
isu berkaitan tanah bagi projek perumahan di Ladang Ampar Tenang di
Dengkil.
Katanya kerajaan Selangor yang bersetuju menyediakan tanah bagi
projek perumahan itu untuk penempatan semula 400 keluarga Taman Permata
di Dengkil, dengan membeli tanah seluas 30 ekar daripada Sime Darby pada
harga RM12 juta.
Noh, yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor,
berkata kerajaan Pusat melalui Kementerian Kesejahteraan Bandar,
Perumahan dan Kerajaan Tempatan pula memperuntukkan RM48 juta untuk
membina 400 unit rumah setingkat seluas 700 kaki per segi di Ladang
Ampar Tenang itu.
Namun, katanya kerajaan Selangor pada Disember lepas menghantar surat
kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan untuk meminta membayar premium
sebanyak RM12 juta.
“Kalau kerajaan negeri beli tanah RM12 juta dan meminta kerajaan
Pusat membayar premium RM12 juta, apakah sumbangan kerajaan Selangor
dalam pembinaan rumah untuk penduduk Taman Permata,” katanya kepada
pemberita selepas melawat Ladang Ampar Tenang hari ini.
“Sepatutnya apa-apa projek kerajaan Pusat, kerajaan negeri hanya
minta pembayaran premium secara nominal dan bukan menjual tanah kepada
kerajaan Pusat,” katanya.
Flat lima tingkat di Taman Permata menempatkan 400 keluarga yang
dipindahkan daripada Ladang Prang Besar (nama lama Putrajaya) sejak 22
tahun lepas, kini disahkan tidak selamat diduduki berikutan berlakunya
mendapan dan keretakan.
Sambil menyifatkan ia permainan politik kerajaan Selangor, Noh
berkata tindakan meminta bayaran premium RM12 juta itu bertujuan
menggagalkan janji Barisan Nasional untuk membina rumah penduduk di
Taman Permata.
“Andai kata kita gagal menunaikan janji membina rumah ini, sudah
tentu kerajaan Selangor akan memainkan isu ini dan menyalahkan kerajaan
Pusat. Sudah tentu mereka tidak akan mendedahkan bahawa mereka meminta
pembayaran premium dari kerajaan Pusat,” katanya.
Noh berkata rumah yang siap kelak akan diberi secara percuma kepada penduduk Taman Permata.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
No comments:
Post a Comment