BANGI : Kerajaan hari ini mengumumkan bantuan sekali bayar
berjumlah US$5,000 (RM20,000) kepada setiap keluarga waris warga
Malaysia penumpang dan krew pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak
jatuh di Ukraine pada 2014.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani
Abdul Karim ketika mengumumkan perkara itu hari ini berkata Kabinet
meluluskan bantuan itu pada 18 Mac.
“Kementerian sedang menyemak semula bilangan senarai mangsa rakyat
Malaysia kerana ada dalam kalangan mereka yang memiliki dua kerakyatan,”
katanya kepada kepada media selepas menyampaikan anugerah perkhidmatan
cemerlang kementerian itu.
Rohani berkata bantuan itu akan disampaikan kepada waris-waris mangsa
pesawat malang terbabit pada satu majlis khas yang akan diadakan oleh
kementerian.
Penerbangan MH17 yang membawa 283 penumpang dan 15 kru dari Amsterdam
ke Kuala Lumpur, ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014.
Kesemua 298 penumpang dan kru terbunuh.
Selain 44 warga Malaysia, Boeing 777-200 itu juga membawa penumpang
warganegara Belanda, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman,
Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
No comments:
Post a Comment