PUTRAJAYA : Serpihan baharu, kemungkinan dari bahagian "Inlet Cowling"
enjin pesawat ditemui di pantai Afrika Selatan di selatan negara itu,
dekat bandar Mosselbay, Selasa.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pemeriksaan dan
analisis lanjut perlu dijalankan bagi mengesahkan sama ada serpihan itu
milik pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 yang hilang.
Beliau berkata Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Penerbangan Awam
(DCA) sedang berhubung rapat dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam
Afrika Selatan (CAA) mengenai perkara itu.
"Satu pasukan akan dihantar ke kawasan tersebut untuk mengambil serpihan itu," kata beliau dalam satu kenyataan Selasa.
Liow berkata Kementerian akan memaklumkan perkembangan terkini apabila maklumat baharu diperolehi, kata beliau.
Pesawat Boeing 777 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang
dari imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing
pada 8 Mac, 2014.
Pada masa ini, usaha mencari dijalankan di selatan Lautan Hindi selepas
disahkan bahawa penerbangan pesawat malang itu berakhir di selatan
Lautan Hindi.
Awal bulan ini, dua serpihan ditemui di Mozambique dan proses memeriksa
serpihan-serpihan tersebut dijadual bermula di Australia.
Pasukan Penyiasatan Keselamatan MH370 dibantu dalam pemeriksaan dan
analis serpihan oleh pakar-pakar dari Biro Keselamatan Pengangkutan
Australia (ATSB), Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Malaysia Airlines dan
Boeing bagi mengesahkan keasalan serpihan tersebut.
Setakat ini, satu-satunya serpihan MH370 yang ditemui ialah sebahagian
daripada bahagian sayap pesawat yang terdampar di pantai Pulau Reunion
pada Julai tahun lepas.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:
Post a Comment