KUALA LUMPUR : Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia hari ini telah menyediakan laporan sesi pendampingan berkaitan Perjanjian Trans Pasifik (TPPA).
Laporan ini adalah hasil daripada dua sesi pendampingan
berkaitan TPPA yang telah dilaksanakan di Akademi Kepimpinan Kapten
Hussein (AKHI) dan sesi maklum balas oleh pemegang-pemegang taruh
bersama Pemuda UMNO.
Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Kepimpinan Kapten Hussein (AKHI), Tengku Zuhri Aziz berkata laporan
ini disediakan Pemuda UMNO Malaysia di bawah Biro Profesional Muda
(BPM) pimpinan saudara Shahril Hamdan dan Akademi Kepimpinan Kapten
Hussein (AKHI) sendiri di bawah pimpinannya.

“Laporan ini juga telah pun dibentangkan kepada Kementerian
Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan telah mendapat
persetujuan daripada YB Datuk Seri Mustapa Mohamad untuk dihebahkan dan
dikongsi kepada orang ramai.
“Laporan ini memberi tumpuan kepada tindakan-tindakan peralihan
sebelum TPPA dilaksanakan menjelang 2017 nanti. Hasil daripada kajian
pihak Pemuda, kami mendapati terdapat banyak cabaran yang perlu
dihadapi, khususnya cabaran terhadap daya saing syarikat-syarikat
bumiputera untuk kekal relevan di pasaran tempatan serta daya saing
mereka untuk menceburi pasaran luar dan mendapat pulangan daripadanya.
“Oleh itu, laporan ini menjurus kepada cadangan-cadangan oleh Pemuda
kepada Kerajaan Malaysia untuk memastikan persediaan yang rapi sebelum
meratifikasi perjanjian perdagangan TPPA ini,” ujarnya yang juga EXCO
Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.
Tambahnya, Pemuda berbangga dengan laporan yang komprehensif dan
merangkumi banyak bahagian ini; namun, ia tidaklah menyentuh semua
bahagian di dalam TPPA.
Sebaliknya jelas beliau lagi, laporan ini telah memberi fokus kepada
empat bidang utama yang dirasakan penting iaitu Model CGE;
Industri-industri utama; Bumiputera, Syarikat Berkaitan Kerajaan, dan
Perolehan Kerajaan; serta tenaga kerja dan penyelesaiaan pertikaian
pelabur.
“Keempat-empat bidang ini telah dipilih setelah mendapat maklum balas
daripada para pemegang taruh yang yakin bahawa isu-isu tersebut adalah
yang terbesar dan terutama.
“TPPA adalah dokumen yang penuh potensi tetapi bukan jaminan. Ia
menjanjikan kita akses kepada 800 juta pengguna dan sebagai negara yang
sangat bergantung kepada perdagangan, Malaysia bakal memperoleh manfaat
yang amat besar.
“Pemuda berharap TPPA bakal menjadi pemangkin kepada transformasi
struktur yang mampu memberiimpak positif kepada kemampanan jangka
panjang,” ujarnya dalam sidang media mewakili Khairul Azwan Harun, Naib
Ketua Pemuda UMNO di sini hari ini.
Walaubagaimanapun katanya lagi Pemuda sedikit khuatir kerana potensi
ini bergantung kepada tindakan kita dalam menangani isu struktural dan
taktikal.
“Oleh itu, Pemuda menggesa Kerajaan bertindak dengan pantas dalam
mengenalpasti mekanisme yang boleh dilaksanakan terutamanya dalam
meningkatkan kemampuan usahawan tempatan, serta sistem perolehan
kerajaan dan SBK.
“Kita memerlukan langkah peralihan sementara yang taktikal untuk
menjana perubahan. Pemuda berpendapat bahawa usaha-usaha seperti
pemadanan aktiviti perniagaan dan taklimat tentang prosedur perniagaan
di negara-negara TPPA perlu dilaksanakan dengan segera.
“Pemuda berpendapat bahawa isu struktural jangka panjang adalah amat
penting di mana Malaysia perlu mempamerkan komitmen yang serius dalam
menghadapi pasaran dunia yang lebih terbuka dengan persaingan sengit.
“Pemuda juga ingin menyatakan kebimbangan terhadap komunikasi yang
bakal menjadi cabaran besar setelah TPPA diratifikasi. Melihat ke
hadapan, strategi komunikasi perlu berubah ke arah usaha peralihan dan
persediaan yang akan dilaksanakan baik dari segi backend mahupun frontend,” ujarnya lagi.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
No comments:
Post a Comment