
KUALA LUMPUR : Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan
Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mendakwa beliau
memiliki dua dokumen Perjanjian Jual Beli (S&P) berkaitan tanah yang
diperuntukkan untuk projek perumahan rakyat termiskin (PPRT) di Taman
Manggis, Pulau Pinang.
Beliau mendakwa dua dokumen itu menyatakan bagaimana tanah tersebut
yang kini dimiliki sebuah syarikat swasta iaitu Kuala Lumpur
International Dental Centre (KLIDC) cuba dijual kepada pihak ketiga
dengan harga RM20 juta.
“Kedua-dua S&P ini ada dalam tangan saya, yang diberikan oleh
orang-orang tertentu dan dalam percubaan untuk menjual tanah ini, dua
perjanjian S&P ini begitu terperinci sekali.
“Siap ada semuanya di sini yang telah menyatakan penjual meminta
harga RM20 juta maknanya dia beli RM11 juta dia nak jual RM20 juta,”
katanya semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang
di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat di sini, Rabu malam.
Katanya dua dokumen tersebut adalah baharu dan beliau tidak
teragak-agak untuk menyerahkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) untuk disiasat.
Abdul Rahman berkata berdasarkan kandungan dokumen itu, ia jelas
menunjukkan bahawa KLIDC yang membeli tanah itu daripada kerajaan negeri
tidak berminat untuk membangunkannya.
“Saya serahkan kepada SPRM dan pihak yang memberikan dokumen ini
kepada saya kalau diperlukan untuk ditemu ramah, sudah tentu mereka juga
perlu dipanggil untuk memberi keterangan,” katanya.
Menjelas lanjut, Abdul Rahman berkata dokumen itu turut menyatakan
mengenai satu pembayaran membabitkan RM17 juta yang perlu dibayar kepada
empat syarikat.
Menurutnya, tanah di Taman Manggis itu seluas 4.937 ekar (1.99
hektar) diperuntukkan untuk pembinaan PPRT yang mana sebanyak 2.872 ekar
(1.162 hektar) telah dibangunkan untuk projek itu, manakala selebihnya
sepatutnya digunakan untuk pembangunan projek sama bagi fasa kedua.
Bagaimanapun, tanah selebihnya itu kemudiannya telah dijual kepada
KLIDC yang pada awalnya bercadang untuk membina sebuah rawatan swasta
sahaja namun ditukar kepada pembinaan pusat rawatan swasta berserta lot
komersial.
Persidangan dewan bersambung hari ini.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
No comments:
Post a Comment