KUALA LUMPUR : Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata
beliau tidak akan melupakan sejarah hitam yang pernah melanda antara
istana Johor dengan kerajaan persekutuan ketika pemerintahan Tun Dr
Mahathir Mohamad.
Tunku Ismail melalui posting di Johor Southern Tigers hari ini berkata
ekoran krisis perlembagaan tersebut pelbagai insiden telah dilakukan
oleh pihak-pihak tertentu bertujuan untuk memalukan Istana Johor.
“Saya tidak akan lupa krisis perlembagaan yang berlaku pada tahun 1992.
Saya masih ingat bagaimana keluarga saya telah dilayan oleh
pegawai-pegawai kerajaan persekutuan.
“Saya masih ingat perkara-perkara seperti percubaan untuk membubarkan
Askar Timbalan Setia Negeri Johor, Ahli Exco Johor diberitahu untuk
tidak menyambut Almarhum nenda saya di lapangan terbang, bagaimana JKR
telah diberitahu untuk tidak membaikpulih dan memulihara segala apa-apa
yang ada di Istana-istana Johor.
“Malah Bonda saya juga ditahan oleh kastam Malaysia sewaktu kembali ke
Johor dari Singapura. Bonda saya diarah melangkah keluar dari kenderaan
kerana mereka mahu memeriksa kenderaan dengan terperinci. Saya masih
ingat segala-galanya dan saya masih ingat kepada individu-individu yang
bertanggungjawab,” ujarnya memetik kenyataan status tersebut.
Melalui status yang sama Tunku Ismail turut menyifatkan Tun Mahathir
sebagai seorang pemimpin yang gila kuasa kerana cuba memanipulasi rakyat
demi kepentingan diri sendiri.
“Ini semua perkara lama. Allah Maha Besar dan hukum karma adalah suatu
perkara yang indah. Pada hari ini, hubungan kerajaan dan Kerabat Diraja
Johor berada di dalam keadaan baik. Saya menghargainya. Saya berharap
ianya bukan hanya sekadar disebabkan kerana anda amat memerlukan kami.
“Memang baik sekiranya anda sedar bahawa kita saling memerlukan antara
satu sama lain. Tetapi pada pendapat saya pada masa ini, tumpuan harus
diberikan untuk memperbetulkan kesilapan dan mencapai kemajuan dalam
negara.
“Saya berharap agar sejarah hitam yang anda lakukan atas desakan tamak
haloba dan sikap gila kuasa tidak akan berlaku lagi. Jangan manipulasi
rakyat demi kepentingan diri sendiri kerana anda dilantik untuk
berkhidmat kepada rakyat.
Saya berdoa agar kita boleh memberikan tumpuan untuk menjadikan negara
kita ini tempat yang lebih baik pada masa akan datang, demi rakyat,”
tegas Tunku Ismail lagi.
Walaupun tidak menyebut sebarang nama, namun majoriti pengikut Tunku
Ismail yakin ia di tujukan kepada Tun Mahathir yang merupakan perdana
menteri pada ketika itu.
Malah pakar perlembagaan negara, Profesor Dr Abdul Aziz Bari sebelum ini
pernah membidas tindakan Tun Mahathir meminda perlembagaan supaya
undang-undang baharu boleh digubal tanpa persetujuan Yang di-Pertuan
Agong pada 1983 sehingga mencetuskan krisis.
Menurut Aziz lagi, pada 1993, Dr Mahathir turut melucutkan kekebalan
raja-raja Melayu agar boleh diheret dan dibicarakan di mahkamah khas
serta menganjurkan perhimpunan di seluruh negara bagi membidas raja-raja
Melayu.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:
Post a Comment