8 April 2015, Rencana EDITOR
Semalam saya bermimpi menjadi Peguam Negara dan membuat kenyataan di bawah bagi menjawab spekulasi mengenai pembunuhan Altantuya yang dibangkitkan oleh Tun Mahathir Mohamad.
Adalah dimaklumkan Pihak Polis telah menjalankan siasatan menyeluruh
terhadap kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, seorang gadis dari
Mongolia dan mendapati tiga individu terbabit. Mereka ialah Abdul Razak
Baginda, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar.
Abdul Razak, 48, Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik
Malaysia (MSRC), telah dituduh bersubahat dengan Azilah dan Sirul dalam
pembunuhan Altantuya.
Namun pada 31 Okt tahun 2008, Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yassin
memerintahkan agar Abdul Razak, yang juga penganalisis politik, dilepas
dan dibebaskan tanpa perlu membela diri setelah pihak pendakwaan gagal
membuktikan elemen penting dalam pertuduhan bersubahat.
Kegagalan kami mengemukakan fakta yang kukuh ialah kerana mereka yang
membunuh tidak pernah mengakui mereka membunuh apatah lagi menerima
arahan untuk membunuh.
Sungguhpun Jabatan Peguam Negara percaya Razak Baginda terbabit dalam
dalam kes ini, namun Mahkamah mendapati bukti yang ada tidak mencukupi
untuk mensabitkan kesalahan.
DSP Musa Safri
Terdapat pertanyaan kenapa pendakwaraya tidak memanggil DSP Musa
Safri sedangkan Razak Baginda meminta pertolongan beliau untuk mengawal
keselamatan rumah beliau dari gangguan Altantuya.
DSP Musa Safri menjadi fokus kerana beliau merupakan pegawai Polis
yang menjadi Juruiring atau ADC kepada Mohd Najib Razak, Timbalan
Perdana Menteri ketika itu.
Beliau tidak dipanggil Pendakwa raya kerana tiada keperluan untuk
mengukuhkan bukti. Peranan DSP Musa hanyalah setakat meminta dibantu
kawannya, Razak Baginda, yang berhadapan dengan perselihan dengan
Altantuya.
Bagaimanapun sekiranya DSP Musa dianggap penting, Peguam bela
tertuduh boleh sahaja memanggil saksi terbabit untuk memberi keterangan
semasa kedua-dua mereka dipanggil membela diri. Ini tidak dilakukan oleh
Peguam Bela.
Malahan Cif Inspektor Azilah sendiri dalam keterangan membela diri
menyatakan DSP Musa Safri tidak tahu apa masalah Razak Baginda. Musa
hanya memberi nombor telefon Razak Baginda, dan Azilah sendiri yang
berjumpa dan berurusan dengan Razak baginda.
Sepanjang siasatan dan perbicaraan, Polis, Pendakwaraya dan Mahkamah
tidak pernah dimaklumkan peranan Musa Safri lebih daripada meminta
bantuan Azilah membantu rakannya yang bernama Razak Baginda.
Berhubung dengan kenyataan Mahfuz Omar bahawa Sirul Azhar Umar hanya
akan memberitahu siapa yang mengarahkannya membunuh model Mongolia,
Altantuya Shaaribuu bila tiba masanya kelak; ia hanya membuktikan
keputusan Mahkamah adalah tepat.
Sepanjang perbicaraan Sirul Azhar menegaskan bahawa beliau tidak
terbabit dengan pembunuhan tersebut walaupun segala bukti menunjukkan ke
arahnya dan Azilah. Justeru adalah sukar untuk Polis dan Jabatan Peguam
Negara menyiasat kenyataan ini kecuali terdapat bukti baharu.
Sirul juga boleh mendedahkan siapa yang mengarahkannya semasa
dipanggil membela diri. Beliau mengambil keputusan membela diri dari
kandang tertuduh seperti mana Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau tidak
boleh disoal oleh Pendakwaraya, beliau bebas membuat sebarang
pendedahan, namun beliau memilih untuk menafikan melakukan pembunuhan
tersebut.
Sirul sebagai pelarian di Australia boleh sahaja menamakan siapa yang
mengarahkan beliau di sana dan kita akan menyiasat jika ada bukti
baharu.
Namun buat masa ini, Jabatan Peguam Negara memutuskan kes ini telah
selesai dan hanya akan membukanya jika ada bukti baharu dikemukakan.
Peguam Negara Malaysia.
8 April 2015.
8 April 2015.
*Mimpi ini berdasarkan fakta-fakta kes sebenar.
No comments:
Post a Comment