UCAPTAMA
YAB DATO SERI NAJIB TUN RAZAK
PRESIDEN UMNO
PERDANA MENTERI MALAYSIA
11 MEI 2015
Salam sejahtera, salam Satu Malaysia. Yang Amat
Berhormat, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden UMNO merangkap
Timbalan Perdana Menteri. Yang Berhormat Naib-Naib Presiden, Ketua
Wanita, Pemuda dan Puteri, Ahli-Ahli Majlis Tertinggi, Wanita, Pemuda,
Puteri dan Exco masing-masing.
Presiden dan wakil parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang
hadir, saya ucap terima kasih. Sahabat kita dari Indonesia, Bapak Surya
Dharma Paloh, Ketua Umum Parti Nasdem (Nasional Demokrat) dan yang kita
raikan semua ahli-ahli UMNO yang berhimpun dalam dewan dan juga luar
dewan.
Alhamdulillah, pada malam ini sekali lagi kita dapat berkumpul untuk
meraikan suatu peristiwa, suatu detik yang cukup bermakna lagi
bersejarah, tarikh kelahiran parti keramat kita, parti UMNO. Hari ini,
hari yang ditanda dengan tinta sejarah. Hari ini, hari yang menjadi
simbolik pembelaan untung nasib orang Melayu dan negara pada
keseluruhan.
Justeru pada hari yang cukup bermakna ini, bila kita berkumpul sudah
tentu kita ingin menghayati sesuatu mesej, sesuatu isyarat mengapa kita
berkumpul, mengapa kita bersama-sama di dalam Dewan Merdeka ini. Jika
kita menoleh ke belakang walaupun dalam perjuangan yang kita utamakan
ialah untuk melihat ke hadapan, namun sejarah merupakan guru bagi kita,
guru yang terbaik bagi kita, kerana kalau kita tidak belajar daripada
sejarah, maka bak kata orang tua-tua, kita akan dihukum oleh sejarah.
Sejarah kegemilangan bangsa Melayu, sejarah wujudnya dan mulanya
bangsa yang bermaruah, bangsa yang merdeka, bangsa yang berdaulat ialah
kerana apabila kita mengetepikan segala perasaan, segala pemikiran yang
terkongkong dengan sebarang emosi dengan pemikiran kenegerian dan
kesukuan.
Bila kita kata bahawa bangsa Melayu akan jadi bangsa kuat sekiranya
kita menjadi bangsa yang percaya pada perjuangan, perjuangan yang lebih
besar, sebab itu kita kata parti kita parti kebangsaan, parti nasional,
parti yang mewakili semua orang atas nama Melayu dan Bumiputera.
Jadi pada tahun 1946, kita tahu di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung
Baru, ramai persatuan anak-anak Melayu berkumpul atas nama anak negeri,
atas nama anak-anak Boyan, barangkali anak-anak Jawa dan lain-lain lagi,
tapi dengan satu tujuan sahaja bahawa kalau kita berpecah dalam
kumpulan kecil kita tak mungkin jadi mangsa yang bermaruah.
Akhirnya di tangga Istana Besar Johor Bahru, 69 tahun yang lalu, maka
pengasas-pengasas kita telah berjaya mewujudkan UMNO yang kita kenali
sampai hari ini. Semuanya itu menjadi kenyataan, kerana apa? Kerana
Melayu bersatu, sebab itu pada malam ini kita pilih Melayu Bersatu
sebagai tema hari lahirnya UMNO.
Puisi yang telah dibaca nukilan Datuk Seri Zahid (Dr. Ahmad Zahid
Hamidi) pun temanya Melayu Bersatu, ucapan Datuk Seri Diraja Datuk Rosli
(bekas Menteri Besar Perak, Tajol Rosli Ghazali) mewakili veteran UMNO
temanya juga bersatu, berdirinya saya di sini sebagai Presiden UMNO!
tema saya juga Melayu Bersatu.
Saya percaya inilah mesej yang ternilai bila kita berhimpun pada
malam ini, mungkin kita sebut bersatu itu mudah tetapi nak
mengamalkannya, nak menghayatinya mungkin lebih sukar, tetapi boleh
menjadi kenyataan kalau niat di hati kita tidak lain dan tidak bukan,
kita bukan penting, we are not important but UMNO is more important.
Kalau kita percaya bahawa parti kita itulah harapan kita, pemimpin
boleh pergi pemimpin boleh datang, tetapi kalau parti masih kuat,
perjuangan boleh diteruskan, saya kata kuat bererti kita mesti ada
kuasa, kalau kita wujud sebagai sebuah parti tanpa kuasa tiada erti sama
sekali.
Justeru sebagai sebuah parti yang sudah lahir selama 69 tahun
lamanya, dan hari ini di Dewan Parlimen, kita adalah parti terbesar
dalam Dewan Parlimen, 88 kerusi daripada 222 kerusi adalah milik parti
UMNO kita.
Dengan kekuatan yang ada pada kita, kita mesti pertahankan kekuatan
itu dalam apa jua keadaan, UMNO telah melalui pelbagai ujian dan dugaan
dalam sejarah. Sekali lagi dalam lipatan sejarah, daripada peristiwa
pengasas UMNO meninggalkan UMNO, daripada Biro UMNO menubuhkan Pas,
daripada peristiwa UMNO diharamkan dan terpaksa disusun semula, daripada
pelbagai-bagai peristiwa lain termasuk pertandingan pada tahun 1987 dan
lain-lain lagi ujian getir yang telah dilalui oleh UMNO.
Tetapi semuanya itu, telah dapat kita tempuh dengan jayanya, bukan
kerana kebijaksanaan pemimpin UMNO sahaja, tetapi lebih daripada itu,
kerana bila pemimpin mempunyai penyokong-penyokong yang setia dan kuat,
pada masa itu, pemimpin boleh percaya, saya yakin dan percaya bahawa
keadaan seperti ini, formula seperti ini, masih relevan sampailah pada
hari ini.
Yang berubah cumalah persekitaran yang lebih mencabar, persekitaran
lebih menguji kaedah-kaedah kita umpamanya penyebaran maklumat termasuk
fitnah yang dahsyat melalui media sosial dan online memperlihatkan
persekitaran yang baru. Persepsi lebih penting daripada realiti, itu
merupakan perubahan paradigma walau apa juga perubahan persekitaran UMNO
mesti mampu menyesuaikan dirinya menjadi parti yang relevan pada masa
kini dan pada masa akan datang.
Saya percaya UMNO berjaya kerana apa? Kerana kita mementingkan
bukan sahaja ahli kita dalam dewan ini, tetapi ahli UMNO dan rakyat
jelata yang ada di luar dewan ini yang akan menilai setiap gerak geri
dan tindakan serta keputusan kita.
Ingatlah bahawa sebagai sebuah parti yang mengamalkan sistem
demokrasi pada akhirnya rakyatlah yang akan menentukannya. Sebab itulah
saya ingin mengajak kita semua menyanjung tinggi ikrar sokongan, lafaz
sokongan, tetapi saya sedar dengan segala rendah diri bahawa saya perlu
memimpin sebuah parti yang mendapat sokongan yang kuat dalam kalangan
rakyat Malaysia.
Sebab itulah saya, mengajak tuan-tuan dan puan-puan sekalian, dan
mengingatkan pada diri saya, bahawa bila saya ambil alih kepimpinan
negara, saya memilih cogan kata Satu Malaysia Rakyat Didahulukan. Saya
mesti mengingatkan pada diri saya bahawa rakyat mesti kita dahulukan.
Apabila rakyat berasa senang pada parti kita dan kerajaan, apabila
program kita sampai kepada rakyat, apabila saya mementingkan sesuatu
bersama-sama dengan tuan-tuan dan puan-puan, umpamanya bila ditanya di
mana kemahuan untuk berjuang walaupun dalam apa jua keadaan saya jawab,
perjuangan saya adalah untuk mereka yang impikan Malaysia yang maju dan
adil. Perjuangan saya adalah bagi mereka yang ingin membeli rumah yang
mampu dimiliki oleh mereka. Perjuangan saya adalah untuk membantu ibu
bapa yang memberi tanggungjawab besar menghantar anak-anak ke sekolah.
Perjuangan saya adalah untuk mereka yang ingin memulakan perniagaan
tetapi susah untuk mendapat kredit. Perjuangan saya adalah untuk graduan
yang ingin mendapat pekerjaan. Perjuangan saya adalah untuk merapatkan
jurang pendapatan rakyat terutama di luar bandar. Perjuangan saya adalah
untuk mereka yang susah kerana kos sara hidup dan perjuangan saya
adalah untuk membantu semua rakyat yang memerlukan pertolongan dari
kita.
Inilah yang boleh saya ungkapkan daripada ayat-ayat tersebut
merangkumi manifestasi apa sebenarnya yang mendorong saya selama 40
tahun untuk mengabdikan diri saya dalam politik, berjuang dari bawah
sampai ke puncak semata-mata kerana saya ingin berkhidmat untuk rakyat
dan negara Malaysia yang tercinta.
Sebab itulah kita akan teruskan dengan dasar-dasar kita.
Kadang-kadang tidak popular, tetapi dalam jangka panjang saya yakin akan
menunjukkan ketepatan dan kebenaran dasar-dasar. Hari ini tuan-tuan
puan-puan kita sambut tarikh lahirnya UMNO. Kita telah adakan mesyuarat
Majlis Tertinggi petang tadi.
Mesyuarat Majlis Tertinggi antara yang terbaik yang pernah kita
adakan selama ini. Mengapa saya kata begitu, di luar macam-macam cerita,
macam-macam rekaan oleh pihak-pihak yang ingin melihat kita berpecah,
melihat kita mengadu-domba antara kita sesama kita, meracuni fikiran
pemimpin-pemimpin menyebabkan kita gelisah.
Mereka semua itu bukanlah orang yang sayang dan cinta parti UMNO.
Hari ini saya lihat kematangan ahli-ahli Majlis Tertinggi kerana seia
sekata dengan kata-kata yang bulat, Majlis Tertinggi kata bahawa mereka
ingin melihat pucuk pimpinan UMNO khususnya Presiden UMNO dan Timbalan
Presiden seiring dalam mentadbir parti UMNO. Dan saya ingin nyatakan ini
jugalah harapan saya, semoga dalam kita mempunyai barisan
pemimpin-pemimpin yang serasi dan saling percayai antara satu sama lain,
maka sudah tentu ini akan menjadi isyarat yang jelas bahawa kalau di
atas kukuh, sudah tentu di bawah pun akan turut padu dan bersama-sama
dalam semangat dan ikatan yang sempurna.
Oleh itu, tuan-tuan dan
puan-puan sekalian, itulah mesej hari lahir UMNO yang ke-69. Marilah
kita berdoa, semoga tahun-tahun mendatang kita akan sambut lagi ulang
tahun UMNO dan kita sambut kerana apa? Kerana kita masih parti yang
kuat, gagah perkasa dan mendapat sokongan yang padu daripada rakyat.
Saya yakin anda percaya kita mampu melakukan perkara ini, kita mesti
terarah dalam kerja-kerja kita. Buatlah segala-gala yang patut untuk
menguatkan parti kita.
Janganlah buat yang tak patut, buatlah yang patut. Mudah-mudahan dengan ini kita akan berjaya dalam perjuangan kita.
Hidup UMNO! Hidup UMNO! Hidup UMNO!
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
No comments:
Post a Comment