24 Jun 2015, Kuala Lumpur : “Kenapa nak tubuh parti baru? Lebih baik
kumpulan G18 ni masuk Dap atau PKR. Bukankah kedua-dua parti ini cukup
menepati jiwa dan selera ahli-ahli yang ada dalam kumpulan G18 ini?,
demikian persoalan yang dilemparkan Bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri
Anwar Ibrahim, Anuar Shaari.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas desas-desus kemungkinan
kumpulan yang dikatakan progresif di dalam Pas yang tewas dalam
pemilihan parti itu baru-baru ini akan menubuhkan parti baru.
Dilaporkan G18 mengadakan pertemuan pertama di Muar, Johor pada 16
Jun lalu dan membentuk jawatankuasa bertindak di kalangan mereka.
Bekas Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu yang gagal mempertahankan
jawatannya dipilih sebagai pengerusi kumpulan ini sementara bekas Naib
Presiden Salahudin Ayub dilantik menjadi timbalan manakala bekas Ketua
Pemuda Suhaizan Kaiat sebagai penolong setiausahanya.
Semua ahli G18 yang lain dilantik sebagai ahli jawatankuasa (AJK) badan bertindak ini.
Menurut Anuar Shaari lagi apa perlunya kumpulan G18 ini bersusah
payah dan bersengkang mata untuk menggerakkan usaha penubuhan parti baru
atau sebarang pergerakan politik yang lain sedangkan mereka sebelum ini
cukup mesra dengan PKR atau Dap.
Jelas beliau lagi tindakan ahli kumpulan G18 ini menubuhkan parti
baru hanya memperlihatkan mereka memperlekehkan Dap atau PKR yang selama
ini didakwa sebagai parti politik yang liberal, adil dan saksama.
“Dap pun sekarang tengah sibuk nak tambah ahli dan cari di kalangan
pemimpin Melayu… adakah ahli kumpulan G18 ini tidak menghormati Datuk
Samad Said yang baru-baru ini menyertai Dap”, sindirnya.
Malah tambah beliau lagi inilah masanya untuk ahli kumpulan G18 ini
benar-benar dapat menaburkan jiwa dan raga mereka kepada PKR dan Dap
seperti mana yang mereka lakukan sebelum ini yang sentiasa
bermati-matian mempertahankan kedua-dau parti tersebut melebih parti
mereka sendiri.
“Kita yakin ahli kumpulan G18 ini tidak akan menyertai PKR mahu pun
Dap kerana mereka tahu kedua-dua parti itu pun tidak mempunyai
perjuangan yang ikhlas apatah lagi untuk menerima mereka sebagai ahli
parti.
“Mereka ahli kumpulan G18 ini pun sedar Dap mahu pun PKR hanya mahu
mempergunakan mereka sahaja seperti mana yang pernah terjadi kepada
bekas pemimpin parti-parti yang lain. Masing-masing sebenar cuba
bermain politik sesama mereka…. yang lemah bakal menjadi mangsa yang
bijak berputar akan menjadi raja”, ujarnya.
Justeru beliau yakin sama ada kumpulan G18 ini menyertai Dap atau PKR
mahu pun menubuhkan sebuah parti politik yang baru hasilnya tetap sama
iaitu tidak mampu bertahan lama dan akan musnah dengan sendirinya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
No comments:
Post a Comment