23 Jun 2015, Shah Alam : Pertubuhan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) akan bergabung
dengan pemimpin kumpulan progresif PAS serta badan bukan kerajaan (NGO)
Islam lain membentuk parti Islam baru menggantikan PAS dalam Pakatan
Rakyat (PR), kata Datuk Phahrolrazi Zawawi.
Presiden PasMa itu berkata, hanya satu parti baru saja yang akan
dibentuk selepas ini bagi membentuk pakatan baru selepas PAS menamatkan
hubungan dengan DAP.
"Kami akan bersama-sama dengan G-18 dan NGO Islam yang lain bagi
membentuk sebuah parti baru untuk gantikan PAS dan membentuk pakatan
baru," kata Phahrolrazi dipetik kepada The Malaysian Insider, merujuk
kepada 18 pemimpin PAS yang tersingkir selepas ditewaskan dalam
pemilihan parti itu baru-baru ini, termasuk Mohamad Sabu, Datuk Husam
Musa, Khalid Samad, Dr Mohd Hatta Ramli, Mohamed Hanipa Maidin dan
lain-lain.
Phahrolrazi menjelaskan, parti baru itu bukan hanya bekerjasama dengan
DAP sahaja sebagaimana dilaporkan sebuah media arus perdana hari ini,
tetapi juga dengan PKR.
"Kita sudah mengadakan beberapa pertemuan dengan G-18 bagi membincangkan perkara ini.
"Insya Allah lepas raya nanti pengumuman akan dibuat mengenainya," katanya.
G-18 sudah membentuk jawatankuasa bertindak bagi menguruskan wadah baru
yang menurut mereka memberikan harapan baru kepada Malaysia selepas
kegagalan PAS.
Mereka sedang giat berbincang dengan pelbagai pihak, termasuk NGO dan
tokoh-tokoh perseorangan, untuk bersama-sama dalam perjuangan lebih
inklusif untuk semua rakyat Malaysia itu.
PasMa merupakan salah sebuah NGO yang akan bersama dengan G-18.
Phahrolrazi berkata, walaupun sebuah parti baru akan dibentuk, PasMa akan tetap kekal sebuah NGO.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:
Post a Comment