Tuesday, June 23, 2015
‘Saya Tidak Sengaja Langgar Adik’
22 Jun 2015, Seremban : “Adik tolonglah bangun. Jangan macam ni,” rayu Zaini
Daud, 35, sambil merangkul Nur Aminah Zaimin Jasmin, setahun sebulan.
Dia tidak dapat menahan tangis apabila melihat darah memancut keluar dari mulut, telinga dan hidung anak kecilnya itu.
Nur Aminah Zaimin hanya memandang sayu wajah Zaini tanpa suara kerana
kecederaan parah yang dialaminya selepas dilanggar secara tidak sengaja
oleh Toyota Unser yang sedang diundurkan wanita itu di rumahnya di
Kampung Tebing Tinggi, Labu, di sini dalam kejadian kira-kira pukul 4.30
petang semalam.
Anak bongsu daripada tujuh beradik itu dikatakan keluar rumah mengekori
ibunya tanpa disedari wanita tersebut yang sedang mengundurkan kenderaan
pelbagai guna itu untuk mengeluarkan motosikalnya.
Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS)
oleh ibunya untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia di
Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Semasa mengundurkan kenderaan, saya amat pasti tiada apa-apa yang
menghalang laluan namun ketika mula bergerak ke hadapan, saya rasa
seperti melanggar batu.
“Selepas memberhentikan kenderaan untuk melihat halangan tersebut, saya
dapati adik (Nur Aminah Zaimin) sudah terbaring di sisi kereta,” katanya
ketika ditemui di rumahnya hari ini.
Sambil menegaskan berkali-kali dia tidak membunuh anak bongsunya itu,
tetapi tragedi tersebut berlaku secara tidak sengaja, Zaini mengakui
emosinya masih tidak stabil dan trauma mengenangkan kejadian tersebut.
“Memandangkan saya hanya ada seorang anak perempuan sebelum adik (Nur
Aminah Zaimin) dilahirkan, kini kehilangannya amat dirasai oleh setiap
ahli keluarga.
“Tidak sangka, adik tinggalkan saya sebelum sempat saya lihat dia membesar,” katanya menahan sebak.
Jenazah Nur Aminah Zaimin dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Masjid, Pasir Puteh Batu Lapan, 11.30 malam tadi.
“Kini hanya tinggal baju, rantai emas dan kasut baharu adik sebagai kenangan untuk kami sekeluarga,” ujar Zaini sayu.
Dipetik daripada sumber : Harian Metro
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment