Tuesday, June 23, 2015
Syukurnya Berada Di Malaysia....Bayangkan lah Bekas Pelarian Cam Terkenang Kekejaman Komunis, Syukur Pilih Malaysia
23 Jun 2015, Sungai Buloh : Berita penemuan sebuah kubur besar yang dipercayai
mengandungi hampir 100 mayat pelarian Rohingya di Padang Besar baru-baru
ini membuatkan Halimah Muhammad, menitiskan air mata.
Halimah, antara beratus ribu pelarian kaum Cam atau lebih dikenali
sebagai masyarakat Islam Kemboja yang mendapat perlindungan kerajaan
Malaysia pada 1989 dan akhirnya menetap di sini.
Ibu kepada enam anak itu berkata, penyeksaan hidup yang dilalui pelarian
Rohingya mengingatkannya dengan tragedi lampau semasa pergolakan
politik rejim komunis Pol-Pot di Kemboja pada 1975.
"Saya menangis apabila tengok berita mengenai nasib orang Rohingya yang hanyut di dalam bot di tengah laut.
"Tapi paling menyentuh hati saya, apabila ada mayat dipercayai milik
orang Rohingya ditemui ditanam dalam sebuah kubur besar di sempadan
negara," katanya ketika ditemui mStar Online di penempatan masyarakat
Kemboja di Merbau Sempak, di sini, baru-baru ini.
Wanita berusia 60 tahun ini berkata, walaupun mereka bukan sebangsa,
tapi nasib yang dilalui pelarian tersebut seolah-olah sama seperti yang
dialami kaum Cam suatu ketika dahulu.
"Kesengsaraan hidup orang Rohingya jauh lebih teruk daripada yang pernah
kami lalui dahulu. Namun, kesannya sama. Ia pengalaman yang tidak akan
kami lupa sampai bila-bila," katanya.
Mengimbau kembali detik hitam kira-kira 40 tahun dahulu, Halimah
berkata, pemerintahan rejim komunis Pol-Pot sekitar tahun 1975 hingga
1979 ibarat mimpi negeri kepada umat Islam Melayu-Champa di Kemboja pada
waktu itu."Empat tahun bagaikan hidup di dalam neraka. Kami diseksa dan
dipaksa bekerja seperti hamba. Jika tidak ikut arahan kami akan
dibunuh.
"Kami juga tidak dibenarkan solat, kalau nak solat kena sorok-sorok.
Al-Quran pun kena sembunyi dekat tempat tinggi. Kalau mereka (komunis)
nampak, kami akan dipukul guna senapang sampai mati," katanya.
Malah, Hamidah berkata, keturunan Cam, terutamanya yang beragama Islam
juga dibiarkan kelaparan selepas tenaga mereka dikerah habis-habisan di
sawah padi.
"Kami kena buat semua kerja, bermula dari semai benih padi, bajak dan
kemudian tuai. Kalau ada di antara kami tak tahu jaga lembu, kami akan
dibunuh. Kami semua takut. Rejim komunis pada waktu itu kejam," katanya
mengimbau kenangan pahit itu.
Beliau berkata, pernah suatu ketika dia terpaksa mengambil kulit pisang
yang dibuang tanpa pengetahuan askar komunis Phnom Penh untuk diberikan
kepada tiga anaknya yang masih kecil.
"Mereka (askar komunis) buang kulit pisang dan saya kutip, tapi kalau
ada orang nampak kita buat begitu, kita kena bunuh. Jadi saya terpaksa
kutip secara sembunyi untuk bagi alas perut anak," katanya.
Kekejaman rejim pemerintah pada waktu itu membuatkan Halimah bersama
suami, Abdullah Abu Bakar, 60 dan tiga anaknya yang masih kecil
memutuskan untuk berhijrah 26 tahun lalu.
Mereka bersama anak sulung, Idris yang ketika itu berusia enam tahun,
serta dua adiknya yang baru berusia lima dan empat tahun iaitu Basri dan
Rusda keluar dari Kampung Chruiychangwa, sebuah perkampungan kecil di
Phnom Penh untuk memulakan kehidupan baharu.
Tiga lagi anak pasangan Halimah dan Abdullah yang kini meneruskan
kehidupan di sini adalah Farabi Abdullah, 28; Siti Shuad Abdullah, 26;
Nur Baizura Abdullah, 24.
Katanya, mereka memilih untuk mendapatkan perlindungan di Malaysia pada 1989 kerana yakin nasib mereka sekeluarga lebih terbela.
"Malaysia adalah sebuah negara Islam. Keselamatan kami lebih terjamin
kerana percaya Malaysia akan membela nasib saudara sesama Islam,"
katanya.
Namun, beliau bersyukur kerana nasib mereka sekeluarga jauh lebih baik
jika dibandingkan dengan masa depan pelarian Rohingya yang kini berada
di beberapa pusat tahanan di utara tanah air.
"Walaupun kami dihina dan diseksa di negara sendiri, saya bersyukur
kerana diberikan kehidupan yang lebih baik di sini," katanya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment