GEORGE TOWN : Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Mhd Nasir Yahya
yang dilantik semula ke jawatan itu berhasrat menyertai Gerakan Harapan
Baharu (GHB) selepas parti baharu itu didaftarkan.
Namun, buat masa ini Mhd Nasir berkata beliau masih lagi anggota PAS
sehingga keanggotaannya terbatal selepas beliau menyertai GHB secara
rasmi kelak.
"Secara teknikalnya, saya masih anggota PAS, nama saya masih dalam
senarai pendaftaran ahli. GHB masih dalam proses pendaftaran dan
kemungkinan besar saya akan menyertainya.
"Saya sudah pertimbangkan keputusan ini kerana fitrah saya selari dengan
apa yang diperjuangkan GHB," katanya ketika ditemui selepas majlis
pengakuan penerimaan pelantikan Anggota Majlis MBPP di sini, Isnin.
Selain Mhd Nasir, Dahalan Fazli daripada PAS turut dilantik semula
sebagai Ahli Majlis Seberang Perai (MPSP) berkuat kuasa 1 Ogos lepas.
Mhd Nasir dan Dahalan sebelum ini meletak jawatan sebagai Anggota Majlis
berikutan keputusan Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-61 Jun lepas
menerima usul Dewan Ulama untuk memutuskan hubungan dengan DAP.
Ditanya sama ada beliau ada memaklumkan hasrat itu kepada kepimpinan
tertinggi PAS Pulau Pinang, Mhd Nasir berkata: "(Mereka) tidak
dimaklumkan.
Mereka boleh baca melalui akhbar, media dan Facebook. Boleh boleh baca mesej di situ".
Mengenai pelantikan semula sebagai Anggota Majlis, beliau yang telah
lapan tahun menjadi anggota PAS, berkata pihaknya menerima kritikan
daripada sesetengah pihak berhubung perkara itu.
Menyifatkan ia sebagai lumrah kehidupan, Mhd Nasir yang pernah menjadi
Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Gelugor berkata dalam politik tidak
ada istilah berkawan dan bermusuh selamanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:
Post a Comment