Monday, August 03, 2015
Anggota PAC Menjadi Anggota Kabinet : Apa Masalahnya?
Parti pembangkang membuat bising berhubung keputusan Perdana Menteri
melantik 4 Anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebagai
menteri dan timbalan menteri dalam rombakan Kabinet baru-baru ini..
Pertama, seperkara yang perlu dijelaskan ialah keempat-empatnya bukan
dilantik kerana mereka adalah anggota PAC tetapi atas kapasiti sebagai
Ahli Parlimen.
Berdasarkan perkembangan semasa, kita mungkin terpaksa menunggu sebelum
PAC dapat meneruskan siasatan ke atas 1MDB. Berapa lama? Ia dianggar
kira-kira 2 bulan kerana persidangan ketiga Parlimen hanya bermula pada
awal Oktober bag menentukan pengerusi baharu dan penggantian anggota
PAC.
Penangguhan itu mempunyai justifikasi tersendiri. Berikutan pendedahan
dokumen palsu oleh Sarawak Report dan pengakuan teori konspirasi
beberapa individu, adalah lebih baik bagi PAC menunggu keadaan reda dan
mendapat gambaran lebih jelas secara menyeluruh. Jika tidak, PAC mungkin
membuat keputusan berdasarkan andaian yang tidak tepat.
Apakah empat pelantikan baru-baru ini akan memesong atau menghentikan
keseluruhan siasatan? Jawapannya sudah tentu tidak. Kerajaan tidak
mempunyai kuasa untuk menghentikan sebarang siasatan oleh Parlimen.
Sebaik ia dimulakan, ia hanya boleh dihentikan apabila PAC sudah membuat
keputusan dan membentangkannya kepada Ahli Dewan Rakyat. PAC tidak
menghentikan fungsi atau siasatannya hanya kerana beberapa Ahli Parlimen
bukan lagi menjadi anggotanya. Secara ringkasnya, itu adalah cara PAC
beroperasi.
Justeru, saya tidak fikir PAC akan lumpuh hanya kerana 4 anggotanya
dinaikkan pangkat ke dalam Kabinet. PAC diwujudkan sejak merdeka dan
kekal sebagai lambang demokrasi berparlimen. Ia akan kekal begitu selagi
Parlimen berfungsi di negara ini.7. Pelantikan empat Ahli Parlimen bagi
mengisi satu jawatan menteri dan tiga jawatan timbalan menteri itu
dibuat berikutan keuapayaan dan kedudukan mereka dalam parti
masing-masing. Mari kita perhalusi kemampuan mereka dengan terperinci.
Sebagai contoh, Datuk Madius Tangau adalah Presiden Pertubuhan
Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) dan secara dasarnya,
beliau perlu menganggotai Kabinet. Jika Perdana Menteri tidak
melantiknya minggu lalu, ia akan menghantar isyarat salah kepada ahli
UPKO. Secara tidak langsung, pentadbiran Pusat akan dilihat tidak
menghormati pilihan ahli UPKO. Selaku Setiausaha BN Sabah, saya
berpendapat adalah salah bagi Perdana Menteri menafikan hak Presiden
parti komponen di Sabah untuk menjadi anggota Kabinet.
ni membawa kita kepada Datuk Reezal Merican yang dikenali sebagai Ahli
Parlimen serba boleh. Saya mengenali Datuk Reezal sejak lebih 10 tahun
lalu. Beliau berpengetahuan luas dan berupaya menggarap pelbagai
perkara. Anda boleh mengadakan perbincangan intelek bersamanya mengenai
apa perkara sekalipun dan saya berjanji, anda tidak akan kecewa dengan
pemahaman beliau mengenai isu yang diperkatakan.
Anda akan mendapati beliau mudah dibawa berbicara, termasuk apabila
membincangkan isu seperti ekonomi antarabangsa, pelaburan dan kewangan,
sosial, sejarah Asia Barat dan undang-undang Islam. Jika anda tidak
percaya, hubungi beliau dan ajak beliau berbincang. Anda boleh berbicara
dalam bahasa Inggeris, Melayu atau Arab. Beliau fasih dalam ketiga-tiga
bahasa, lengkap dengan lenggok tatabahasanya.
Pelantikan beliau sebagai Timbalan Menteri Luar akan memberi Malaysia
kelebihan dari segi hubungan antarabangsa, terutama hubungan Malaysia
dengan Asia Barat yang mana kefasihannya berbahasa Arab adalah kelebihan
besar.
Menyentuh mengenai Datuk Mas Ermieyati Samsudin, sudah menjadi tradisi
UMNO untuk menyerap Ketua Puteri ke dalam Kabinet. Perkara sama
dilakukan terhadap Datuk Seri Azalina Othman, Datuk Noraini Ahmad dan
Datuk Rosnah Rashid Shirlin ketika menerajui Puteri UMNO. Berbekalkan
latar belakang beliau dalam bidang perundangan, Mas Ermieyati seharusnya
berada dalam barisan hadapan.
Bagaimanapun, semestinya yang paling hebat dikritik adalah pelantikan bekas Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohammed.
Rentetan kritikan dan tindakan pembangkang memperlekehkan pelantikan
beliau berlaku dengan pantas dan secara berterusan. Tambahan pula,
beliau berada tengah-tengah kemelut 1MDB dan sepatutnya mengetuai
siasatan terhadap 1MDB. Di sebalik segala kecaman itu, saya tetap yakin
kita perlu berlaku adil terhadap beliau.
Saya dilantik menganggotai PAC bersama Datuk Nur Jazlan pada 2008.
Ketika saya bernasib baik kerana diberi peluang menjadi Menteri Kabinet
pada 2013, beliau tidak mendapat peluang sedemikian dan berikutan itu,
ramai penyokong dan pengundinya menganggap kerjaya politik Datuk Nur
Jazlan “terkapai-kapai” – terutama apabila ini adalah tahun kelapan
beliau sebagai anggota PAC.
Terlepas menganggotai Kabinet pada tahun 2013 bukanlah kali pertama.
Hakikatnya, Datuk Nur Jazlan terlepas enam peluang untuk dilantik
menganggotai Kabinet sepanjang menjadi Ahli Parlimen.
Kali pertama adalah ketika pengumuman pembentukan Kabinet tidak lama
selepas pilihan raya umum (PRU) 2004. Kali kedua adalah ketika Kabinet
oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Februari 2006. Kali ketiga adalah
sewaktu pembentukan Kabinet selepas PRU ke-12 pada 2008. Kali keempat
ketika Datuk Seri Najib Razak mengambil alih tampuk pemerintahan
daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2009. Kali kelima adalah
pembentukan Kabinet selepas PRU ke-13 pada 2013 dan kali keenam apabila
Datuk Seri Najib Razak membuat rombakan kecil Kabinet pada 2014. Soalan
yang perlu dijawab ialah apakah adil untuk menafikan peluang beliau
memanjangkan karier politiknya buat kali ketujuh?
Menerusi pertimbangan kurang cederik, kita mungkin berkata “ya” kerana
lebih minat melihat beliau memenuhi kehendak kita berbanding kemahuan
sendiri. Bagaimanapun, jawapannya agak berbeza bagi beliau. Dan secara
jujurnya, kita tidak boleh menyalahkan beliau kerana berfikiran
sedemikian.
Datuk Nur Jazlan dilahirkan dalam keluarga politik. Bapanya, Allahyarham
Tan Sri Mohammad Rahmat, pernah menjadi pemimpin hebat dalam UMNO dan
menteri persekutuan serta Setiausaha Agung UMNO. Darah politik pekat
mengalir dalam dirinya. Justeru, mudah membuat andaian bahawa
kesinambungan legasi bapanya adalah penting buat Datuk Nur Jazlan,
keluarganya dan pengundinya, seiring kerjaya politik cemerlang
keluarganya.
Untuk menyimpulkan segala-galanya secara jujur, setiap Ahli Parlimen
menyimpan impian untuk berbakti kepada negara. Cara terbaik ialah
menjadi anggota Kabinet sebagai menteri atau timbalan menteri.
Kita perlu memberi ruang kepada Datuk Nur Jazlan untuk meniti landasan
kerjayanya dengan hati dan pemikiran terbuka. Beliau, penyokong dan
rakyat di kawasan, layak menerima penghormatan itu! Jika beliau terlepas
rombakan Kabinet baru-baru ini, peluang berikutnya adalah selepas
Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018 dan itu adalah tiga tahun dari
sekarang.Harus diingat, PAC boleh disusun semula. Itu tidak menjadi
masalah. Ia tidak akan mengambil masa lama, paling lama adalah 2 bulan
kerana Parlimen akan bersidang semula Oktober depan bagi menentukan
Pengerusi baharu dan penggantian anggota PAC. Saya yakin pengerusi
baharu akan menyambung apa yang dilakukan Datuk Nur Jazlan tanpa banyak
masalah. Paling utama, tidak harus wujud sebarang keraguan terhadap PAC
sebagai lambang kebenaran dalam demokrasi berparlimen negara ini.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment