BUKIT MERTAJAM : Keluarga kepada seorang wanita dan dua anaknya yang maut
dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di KM44.3 Jalan Baru
Baling, Kedah terkejut sebaik menerima panggilan memaklumkan kejadian
berkenaan.
Anak kepada wanita berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Mi, 30-an,
berkata beliau terkejut sebaik menerima panggilan telefon daripada
seorang saudaranya yang memaklumkan kejadian kemalangan melibatkan tiga
anggota keluarganya itu.
"Emak, abang dan adik saya serta tunang abang keluar dari rumah selepas
Maghrib semalam dan kami mendapat panggilan telefon dari sepupu pada
pukul 12 malam yang memaklumkan dia ternampak kereta abang sulung saya
tersadai di tepi jalan.
"Dia memberitahu mereka terlibat dalam kemalangan dan semua mangsa telah
dibawa ke Hospital Baling," katanya kepada pemberita ketika ditemui di
rumahnya, di sini, Ahad.
Dalam kejadian pukul 10 malam itu, Rubiah Abu Hassan, 59; dan dua
anaknya Mohamad Tanizi Hamid, 36; dan Nur Shafiqah Hamid, 19; meninggal
dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketiga-tiga mereka menaiki kereta Proton Wira bersama tunang Mohamad
Tanizi, Zubaidah Ahmad, 36, yang cedera parah dan kini dirawat di
Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah.
Mi berkata sebaik dimaklumkan kejadian berkenaan, beliau dan adik
beradik yang lain terus ke hospital dan di situ mereka dimaklumkan ibu,
abang dan tunang abangnya meninggal dunia manakala adiknya Nur Shafiqah
cedera parah.
Katanya ketika di hospital berkenaan dia hanya menumpukan pemerhatian
kepada Nur Syafikah namun tidak menyangka mangsa yang dilihatnya dalam
keadaan rupa paras bengkak rupanya bakal kakak iparnya iaitu Zubaidah.
"Kami hanya mendapat tahu yang Nur Syafikah turut meninggal dunia dalam
kejadian itu selepas keluarga Zubaidah hadir membuat pengecaman.
"Itupun selepas jenazah ibu dan abang selamat tiba di kediaman kami pada pukul 12 tengah hari tadi," katanya.
Katanya beliau reda dengan pemergian tiga insan paling rapat dengannya
secara serentak tetapi agak kecewa apabila berlaku pertukaran identiti
antara adiknya dengan Zubaidah.
Jenazah Rubiah dan Muhamad Tanazi dikebumikan dalam satu liang lahad
kira-kira pukul 3 petang manakala Nur Syafikah selamat dikebumikan pada
pukul 8 malam di Tanah Perkuburan Islam Masjid Tok Lebai Hashim, Bukit
Mertajam.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:
Post a Comment