3 Ogos 2015, Kuala Lumpur : Kerajaan Selangor dituntut memberikan
penjelasan berhubung pengagihan wang zakat negeri berkenaan yang didakwa
tidak menerusi saluran yang sepatutnya iaitu menerusi Lembaga Zakat
Selangor.
Ketua Pemuda UMNO Selangor, Zainuri Datuk Zakaria berkata perkara itu
yang dibangkitkan oleh Penyelaras Barisan Nasional (BN) Selangor, Mat
Nadzari Ahmad Dahlan, sebelum ini memerlukan penjelasan lebih lanjut
agar ianya tidak menimbulkan salah tanggapan dan sebagainya.
Menurut beliau dakwaan berkenaan bahawa tindakan kerajaan Selangor
memperuntukan bantuan zakat berjumlah RM5 juta yang didakwa disalur
menerusi ketua-ketua cabang PKR adalah satu dakwaan yang cukup berat.
“Soalnya di sini mengapakah ianya tidak diurus tadbir menerusi
saluran yang sepatutnya. Ini adalah wang zakat yang dibayar oleh umat
Islam untuk kepentingan dan kegunaan mereka-mereka yang memerlukan.
“Jadi sewajarnyalah kerajaan negeri mahu pun pihak-pihak yang
berkaitan tampil ke depan memberikan penjelasan berhubung bantuan zakat
itu dan cara agihan yang telah dilakukan. Belum terlambat lagi rasanya
pihak-pihak berkaitan berbuat demikian.
“Ini boleh menimbulkan pelbagai persoalan dan boleh menimbulkan
pelbagai tanggapan kepada kerajaan negeri. Kami amat berharap dakwaaan
ini diberikan penjelasan sebaik mungkin,“ katanya kepada UMNO-Online, di
sini, hari ini.
Perkara itu dibangkitkan sebelum ini oleh Penyelaras Barisan Nasional
(BN) Selangor, Mat Nadzari Ahmad Dahlan, yang berkata bahawa tindakan
kerajaan Selangor memperuntukan bantuan zakat berjumlah RM5 juta yang
didakwa disalur menerusi ketua-ketua cabang PKR amat meragukan.
Mat Nadzari mempertikai mengapa kerajaan Selangor menerusi anak
syarikatnya, Darul Ehsan Investment Group (DEIG) tidak menyalurkan
bantuan zakat itu menerusi LZS atau secara terus kepada kerajaan negeri
yang terlibat.
“Dakwaan yang mengatakan bantuan itu disalurkan kepada ketua-ketua
cabang perlu disiasat. Ini kerana, tindakan ini seperti usaha ada udang
di sebalik batu. Kita tidak mahu ada elemen salah laku untuk kepentingan
politik,” katanya kepada FMT.
Zainuri seterusnya menambah tidak salah menyalurkan bantuan dan
sebagainya hasil kutipan zakat kepada mereka yang memerlukan dan layak
menerima bantuan tersebut.
“Cumanya penjelasan sewajarnya yang diperlukan. Kalau betul dan benar
disalurkan kepada mereka yang memerlukan Alhamdulillah…Itulah yang
sebaiknya. Namun apa pun penjelasan amat diperlukan oleh rakyat untuk
mengelakkan salah tanggapan dan sebagainya untuk kepentingan semua
pihak,” ujarnya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
No comments:
Post a Comment