Anggota UMNO yang hilang jawatan atau tewas
dalam pilihan raya umum (PRU) dinasihatkan supaya tidak kecewa kerana segala
yang berlaku mempunyai hikmah di sebaliknya.
Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri
Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata apa yang penting ialah mengambil iktibar
daripada setiap kegagalan atau kekalahan.
"Mungkin kita tiba-tiba hilang jawatan
atau kalah dalam PRU atau pemilihan parti dan mungkin itu mengecewakan tetapi
percayalah, Allah ada perancangan lebih baik untuk kita.
"Saya dalam politik terumbang-ambing
... sekejap turun, naik tetapi lebih banyak turun di mana saya tewas pemilihan
ketua pemuda dan naib presiden. Tetapi saya tenang sahaja kerana saya tahu
Allah akan beri yang lebih baik pada saya. Tidak ada keadaan yang mustahil bagi
kita," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO
Bahagian Tanjong Karang di sini pada Ahad.
Turut hadir Timbalan Ketua UMNO Bahagian
Tanjong Karang Datuk Shamsuddin Lias, Naib Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang
Datuk Sulaiman Abdul Razak dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tanjong Karang
Maruwan Ahmad.
Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah dalam
pada itu menasihatkan anggota UMNO khususnya di negeri dikuasai pembangkang
supaya benar-benar menjuarai rakyat dalam usaha mengembalikan negeri itu semula
kepada Barisan Nasional (BN).
"Seperti kami di Kedah, ketika kami
kehilangan negeri ini pada PRU-12, kami ambil pandangan daripada Terengganu
yang berjaya dirampas semula daripada pembangkang dan dari situ kami
benar-benar faham apa sebenarnya rintihan rakyat, juarainya dan kami tunjuk
bagaimana nak selesaikannya.
"Kami bergerak seperti NGO dengan
berkempen di sana sini dan respons kami terima begitu luar biasa di mana kami
dapati memang banyak perkara rakyat tidak puas hati dengan kerajaan negeri.
"Saya bukan nak mengajar tetapi ingin
berkongsi pengalaman, saya tahu situasi dan pecahan penduduk di Selangor dan
Kedah berbeza namun mungkin ada sedikit iktibar untuk dicungkil dan dijadikan
suntikan semangat," katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
No comments:
Post a Comment