Mahu menegakkan kebenaran atau mengambil
kesempatan? Itulah persoalan yang timbul apabila sekumpulan pemimpin
kanan pakatan pembangkang mengadakan kunjungan ke Ibupejabat Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya hari ini.
Dalam kunjungan diketuai Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan
Ismail dan disertai oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan bekas Timbalan
Presiden Pas, Mohamad Sabu mereka beria-ia mempertahankan SPRM bagi
menjalankan siasatan secara telus dan adil dalam isu 1Malaysia
Development Berhad (1MDB) dan RM 2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke
dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Mereka yang tiba di situ kira-kira pukul 10.30 pagi, bergilir-gilir
berucap bagi menyatakan sokongan kepada SPRM sebelum Pengarah Komunikasi
Strategik SPRM, Datuk Rohaizad Yaakob membawa mereka masuk untuk sesi
dialog.
Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang turut hadir dalam kunjungan
tersebut menegaskan, kehadiran mereka bertujuan memastikan SPRM dapat
melaksanakan tugas dengan profesional, telus dan integriti. Beliau juga
dengan lantang menggesa pihak polis supaya menghentikan campur tangan
terhadap pegawai SPRM.
Persoalannya apakah yang tersirat di sebalik sokongan terhadap SPRM
itu? Apakah ia ikhlas atau satu lagi sandiwara politik pakatan
pembangkang? Semua orang tahu bagaimana sikap pembangkang terhadap pihak
berkuasa sebelum ini termasuk SPRM.
Dalam kes kematian Teoh Beng Hock, ingatkan kembali apa yang pernah
dikatakan oleh pakatan pembangkang terhadap suruhanjaya. Ketika siasatan
masih dijalankan pelbagai tuduhan dan kecaman mereka lemparkan kepada
SPRM. Pada ketika itu tidak pula mereka bercakap soal SPRM perlu
menjalankan tugas secara profesional, telus dan berintegriti.
Tetapi sekarang secara tiba-tiba oleh kerana kes yang disiasat
melibatkan pemimpin Barisan Nasional (BN), pemimpin pembangkang cuba
menonjolkan diri sebagai ‘wira’ bagi memperjuangkan SPRM.
Kalau benarlah pakatan pembangkang mahu membela SPRM dan begitu hebat
memerangi rasuah atau sebarang penyelewengan termasuklah dari segi
menerima dana politik, kenapakah ketika Najib membentangkan usul di
Dewan Rakyat agar setiap parti politik mendedahkan sumber dan dana
pilihan raya mereka ia ditentang keras oleh DAP dan PKR?
Justeru jika pemimpin-pemimpin pembangkang ikhlas menyokong SPRM,
maka diharapkan mereka juga akan bersikap telus untuk menyokong cadangan
suruhanjaya itu agar satu akta atau peruntukan undang-undang khusus
diwujudkan bagi membolehkan agensi itu melakukan siasatan terhadap
mana-mana parti politik di negara ini yang menerima dana daripada
pelbagai pihak. Jika tidak kehadiran mereka ke Ibupejabat SPRM, boleh
dianggap bukan sahaja sandiwara politik tetapi juga mengambil
kesempatan semata-mata.
Dipetik daripada sumber : Utusan
No comments:
Post a Comment