PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA
KENYATAAN AKHBAR
RABU, 26 OGOS 2015
Penubuhan Jawatankuasa Khas Ekonomi (JKE)
1. Pada Khamis 20 Ogos 2015 yang lepas, saya telah membuat kenyataan
bahawa asas-asas ekonomi Malaysia adalah kukuh, sistem kewangan yang
berdaya tahan dan komitmen yang berterusan dalam melaksanakan
langkah-langkah pembaharuan dan pengukuhan kedudukan fiskal. Saya juga
menekankan bahawa walaupun kerajaan Malaysia berpandangan bahawa tahap
semasa Ringgit Malaysia tidak mencerminkan asas ekonomi semasa yang
kukuh, Kerajaan sentiasa peka terhadap integrasi ekonomi Malaysia dengan
ekonomi global.
2. Kerajaan tetap komited kepada dasar mesra pasaran dan dalam
mengekalkan integriti dan keterbukaan pasaran. Oleh itu, Kerajaan tidak
akan mengenakan kawalan modal dan tidak akan melaksanakan tambatan
Ringgit Malaysia kepada Dollar Amerika Syarikat.
3. Ketidaktentuan kedudukan global masa ini memerlukan tindakan lebih
responsif dan tegas. Dengan mengambil kira keadaan semasa, Kerajaan
berazam untuk menangani dan mengurangkan sebarang impak global kepada
ekonomi sebenar negara.
4. Oleh yang demikian, Kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa Khas
Ekonomi (JKE) yang akan melapor terus kepada YAB Perdana Menteri.
5. JKE akan mempertimbangkan perancangan serta merta dan jangka
sederhana bagi mengukuhkan lagi asas-asas ekonomi Malaysia. Ini
termasuk, isu-isu semasa seperti nilai Ringgit, mengekalkan kestabilan
pasaran kewangan serta mengukuhkan keyakinan dalam pasaran modal.
6. Keputusan untuk mewujudkan JKE adalah berdasarkan keperluan
Kerajaan untuk membangunkan dan melaksanakan strategi serta-merta dan
pelan tindakan untuk memastikan Malaysia terus dalam pertumbuhannya. JKE
akan terdiri daripada ahli ekonomi dan tokoh korporat untuk
melengkapkan lagi kapasiti dan keupayaan yang sedia ada. JKE akan
bermesyuarat pada setiap minggu, atau lebih kerap jika perlu, untuk
menimbang dan mencadangkan langkah-langkah segera.
7. Majlis Ekonomi yang sedia ada, yang dipengerusikan oleh YAB
Perdana Menteri, akan terus berfungsi. Majlis Ekonomi memberi tumpuan
kepada isu ekonomi yang menyeluruh. Majlis Ekonomi ini akan terus,
antara lain; merumuskan strategi untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi
melalui pelaburan langsung asing dan pelaburan domestik;
mengenal pasti
cara untuk mengawal inflasi dan merangka strategi bagi memastikan
bekalan yang mencukupi; dan merangka jaringan keselamatan sosial yang
komprehensif untuk melindungi kumpulan berpendapatan sederhana dan
rendah.
8. JKE ini akan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana
Menteri yang bertanggungjawab bagi Unit Perancang Ekonomi dan akan
terdiri daripada individu seperti berikut:
1. Tan Sri Dato’ Seri Utama Nor Mohamed Yakcop, Timbalan Pengerusi, Khazanah Nasional Bhd
2. Tan Sri Dato ‘Azman Mokhtar, Pengarah Urusan, Khazanah Nasional Bhd
3. Tan Sri Andrew Sheng Len Tao, Ketua Penasihat kepada Suruhanjaya Peraturan Perbankan China
4. Tan Sri Mohamed Azman Yahya, Pengerusi Eksekutif, Symphony Life Berhad
5. Dato Sri Nazir Tun Abdul Razak, Pengerusi, Kumpulan CIMB
6. Datuk Seri Dr K. Govindan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, RAM Holdings Berhad
7. Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali, Naib Canselor, Universiti Kebangsaan Malaysia
8. Dato Abdul Farid Alias, Pengerusi, Persatuan Bank-Bank di Malaysia
9. Datuk Seri Saw Choo Boon, Presiden, Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia
9. JKE ini akan disertai bersama beberapa ahli ex officio yang
terdiri daripada pegawai tertinggi; Kementerian Kewangan; Bank Negara
Malaysia; Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Suruhanjaya
Sekuriti; Pejabat Perdana Menteri dan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan
Perdana Menteri (Ketua Sekretariat, Jawatankuasa Khas Ekonomi).
10. JKE diurusetiakan oleh Sekretariat di Unit Perancang Ekonomi yang
mana YBhg Datuk K. Yogeesvaran, Timbalan Ketua Pengarah Unit Perancang
Ekonomi akan dilantik sebagai Ketua Sekretariat.
11. Pihak-pihak berkenaan akan dijemput di dalam perbincangan untuk
menangani isu-isu dasar, menyelesaikan urusan operasi atau membantu
menyelesaikan masalah yang menghalang pertumbuhan ekonomi.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
No comments:
Post a Comment