PENJELASAN SPRM MENGENAI TIGA ISU SEMASA
Susulan kepada kenyataan-kenyataan media sebelum ini, Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin menjelaskan beberapa isu yang
mendapat liputan media dan dibangkitkan oleh beberapa pihak sejak
beberapa hari yang lalu.
CUTI DAN RAWATAN KETUA PESURUHJAYA
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed telah menjalani
pembedahan di sebuah hospital di ibu negara pada hari Jumaat, 7 Ogos
2015. Pembedahan ini telah lama dijadualkan dan atas nasihat pakar
perubatan, Tan Sri Abu Kassim telah selamat menjalani pembedahan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Datuk Haji Mustafar Ali telah
menziarahi Tan Sri Abu Kassim pada hari Sabtu, 8 Ogos 2015 dan
mendapati Tan Sri Abu Kassim yang masih mendapatkan rawatan sedang
beransur pulih. Pakar Perubatan yang merawat beliau telah menasihatkan
agar Tan Sri Abu Kassim berehat secukupnya sebelum kembali bertugas.
Dalam masa SPRM berhadapan dengan beberapa isu dan cabaran yang
dihadapi, Tan Sri Abu Kassim melalui Datuk Mustafar, yang telah
dipertanggungjawabkan untuk menjalankan tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya
semasa ketiadaan beliau dan Dato’ Sri Mohd Shukri Abdull, Timbalan Ketua
Pesuruhjaya (Operasi) yang bertugas rasmi di luar negara, telah meminta
semua pegawai SPRM terus melaksanakan tugas dengan bebas, telus dan
profesional sebagaimana Aspirasi SPRM. Beliau juga meminta semua pihak
menjalankan tugas dan tanggungjawab secara berhemah dan profesional.
SOKONGAN PELBAGAI PIHAK KE ATAS SPRM
SPRM mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada
pemimpin-pemimpin Kerajaan, parti-parti politik dan pertubuhan bukan
kerajaan serta rakyat jelata yang telah memberikan sokongan moral secara
langsung atau tidak langsung.
Berhubung dengan kenyataan dan laporan media mengenai pendirian
beberapa pihak yang mahu berkumpul di premis SPRM di seluruh negara bagi
menzahirkan sokongan kepada pegawai-pegawai SPRM, meskipun SPRM
menghargai sokongan dan tindakan mereka, SPRM memohon kerjasama agar
tidak meneruskan tindakan mereka kerana bimbang ia akan mewujudkan
suasana tidak selesa kepada orang ramai yang berurusan dengan
jabatan-jabatan kerajaan memandangkan sebahagian besar pejabat SPRM
terletak dalam kompleks atau bangunan Kerajaan Persekutuan.
Pada pandangan SPRM memadai dengan sokongan yang telah diperlihatkan
setakat ini dan memohon rakyat terus memberi kerjasama dengan SPRM dalam
memerangi jenayah rasuah. Rakyat boleh terus memberi kerjasama dalam
memerangi rasuah dengan tidak memberi rasuah, tidak menerima rasuah dan
melaporkan semua bentuk jenayah rasuah.
KENYATAAN KETUA POLIS NEGARA
SPRM juga menyambut baik kenyaatan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid
Abu Bakar bahawa Polis Diraja Malaysia akan menangguhkan sementara
siasatan melibatkan pegawai SPRM berhubung kes kebocoran maklumat.
SPRM berpendapat bahawa tindakan ini akan membantu mengatasi suasana
tidak senang yang wujud sekarang. SPRM memahami tugas dan tanggungjawab
PDRM, dan begitu juga PDRM berkenaan dengan tugas dan tanggungjawab
SPRM.
SPRM ingin jelaskan bahawa Suruhanjaya ini komited untuk menjalankan tugas membanteras jenayah rasuah secara bebas, telus dan profesional.
Melihat kepada suasana sekarang, SPRM meminta kepada semua pihak agar
tidak menyampai dan menyebar luas maklumat-maklumat yang tidak sahih
serta andaian negatif yang boleh mengelirukan dan malah boleh
menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.
DATUK HAJI MUSTAFAR ALI
TIMBALAN KETUA PESURUHJAYA (PENCEGAHAN)
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
TIMBALAN KETUA PESURUHJAYA (PENCEGAHAN)
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
No comments:
Post a Comment