PEKAN : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melahirkan
rasa syukur kerana anggota Umno dan Barisan Nasional (BN) serta rakyat
menerima baik rombakan kabinet yang dilakukannya pada 28 Julai lalu.
Beliau berkata dengan rombakan itu, parti dan kerajaan kini boleh
memberi tumpuan sepenuhnya kepada matlamat untuk membangunkan dan memacu
Malaysia ke arah negara maju dalam tempoh lima tahun.
"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin),
(Datuk Seri Mohd) Shafie (Apdal), (Datuk Seri) Hassan (Malek) dan semua
yang tidak lagi berada dalam pentadbiran kerajaan.
"Tetapi masing-masing melahirkan komitmen dan luahkan pendirian bahawa
mereka tetap setia kepada Umno. Dengan selesainya proses itu (rombakan),
maka kita boleh bergerak ke hadapan.
"Saya tidak mahu kita hilang arah dan fokus. Kita mesti kembali kepada
mengapa, kenapa dan apa dia objektif serta matlamat yang hendak
diperjuangkan sebagai anggota parti dan kerajaan," katanya semasa
berucap pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Pekan di
Taman Tasik Sultan Abu Bakar di Pekan.
Dalam rombakan kabinet yang dilakukan Selasa lalu, Muhyiddin, Shafie,
Hassan dan beberapa timbalan menteri digugurkan daripada senarai.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:
Post a Comment