Assalamualaikum Tun Mahathir,
1. Saya menulis dengan rasa berat hati setelah membaca tulisan Tun
bertajuk “Akaun Peribadi” yang antara lain mempersoalkan kewujudan akaun
peribadi Perdana Menteri Mohd Najib Tun Razak untuk dana politik dan
pilihan raya.
2. Apabila Mohd Najib mengambil alih pentadbiran, semua orang tahu
bahawa beliau mengambil alih ketika parti sangat lemah manakala kekuatan
musuh bertambah berpuluh kali ganda berbanding 2008 dan juga 1999.
Pembangkang ketika itu mempunyai kerajaan negeri Selangor, Pulau Pinang,
Kedah, Perak dan Kelantan.
3. Selepas Tun Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pelan peralihan
kuasa pada Julai 2008, Mohd Najib sedar bebanan besar menanti dirinya. 5
negeri milik pakatan rakyat, 3 daripadanya merupakan negeri kaya dan
punya kerusi Parlimen yang besar. Langkah permulaan Mohd Najib ialah
membantu pembentukan kerajaan BN di Perak.
4. Mohd Najib dan Tun Mahathir sendiri sedar pilihan raya 2013 bukan
lagi perang antara “David versus Goliath”. Sebaliknya ia merupakan “ibu
segala peperangan” dalam konteks pilihan raya Malaysia. Mohd Najib tidak
lagi boleh bergantung kepada sumbangan dana politik kroni-kroni
perniagaan yang berifat telunjuk lurus kelingking berkait. Ini semua Tun
tahu dan faham.
5. Justeru saya kini tertanya-tanya Tun menulis untuk apa? Mahu
menjatuhkan Mohd Najib dan UMNO, membersihkan parti dan kerajaan atau
kerana dendam tertentu? Saya percaya ramai juga tertanya-tanya soalan
ini.
6. Tun sendiri menulis, “Di waktu saya letak jawatan sebagai Presiden
UMNO, saya telah arah wang tunai dalam bank dan saham-saham serta surat
milik hartanah diserah kepada Dato Abdullah Badawi. Pegawai yang
menyerah ialah Nor Mohamad Yacob dan Noordin Bachik. Jumlah wang tunai
yang diserah melebihi 200 juta Ringgit. Jumlah nilai saham dan hartanah
melebihi 1.2 billion Ringgit.”
7. Pada 2008 ketika mahu menjatuhkan Pak Lah, Tun juga menulis telah
menyerahkan sebanyak RM 1.4 bilion dalam bentuk tunai, aset dan saham
yang dibawah “jagaan” Tun semasa menjadi Presiden UMNO melalui seorang
pegawai dan seorang Menteri.
8. Kenapa semua ini tidak dimasukkan ke dalam akaun UMNO? Kenapa
akaun “trustee”? Tun sendiri tahu jawapan dan masalahnya. Tun
beranggapan hanya Tun seorang sahaja amanah, orang lain penipu walau
hakikatnya pada zaman Tunlah harta UMNO berpuluh bilion lesap begitu
sahaja.
9. Saya kecewa Tun sanggup menyerang Mohd Najib yang berbelanja
berhabis-habisan untuk kemenangan Barisan Nasional tetapi memejamkan
mata tindakan kroni-kroni Tun menyumbang kepada parti lawan dalam
pilihan raya 2013.
10. Tun siasat atau beritahu kita, betul atau tidak Tan Sri Vincent
Tan, ahli perniagaan kesayangan Tun yang menganjurkan parti hari jadi
Tun ala James Bond baru-baru ini, telah menyumbang hampir RM 400 juta
kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya 2013? Vincent Tan, orang yang
mendapat pelbagai kemudahan dan keistimewaan semasa pentadbiran Barisan
Nasional di bawah Tun, dikatakan menyumbang hampir RM 1 bilion kepada
parti musuh sejak 2008.
11. Tun juga tentu tahu berapa ratus juta YTL, Syed Mokhtar dan
beberapa tokoh perniagaan lain menyumbang kepada dana politik Pakatan
Rakyat dalam satu pilihan raya yang paling sengit dalam sejarah negara.
12. Malangnya, Tun memilih menyerang Mohd Najib yang membantu Tun
menang dalam pemilihan UMNO 1987 dan yang berusaha mempertahankan
Barisan Nasional dan UMNO, parti yang Tun perkudakan selama lebih 22
tahun.
13. Tun sedikit pun tidak menghargai usaha Mohd Najib mempertahankan
pentadbiran negara ini sungguhpun ia secara langsung menyelamatkan
legasi Tun dan Perdana Menteri-Perdana menteri sebelum ini.
14. Apa yang Tun lakukan sejak beberapa bulan ini sungguh
menyedihkan. Tun bukan sahaja tidak lagi dapat berkelakuan sebagai
negarawan, malah tidak lagi boleh menjadi seorang sahabat pun. Jauh
lebih menyayatkan hati, Tun tidak lagi boleh menjadi ahli parti yang
baik seperti mana Tun minta kami semua buat ketika Tun Perdana Menteri.
15. Masa untuk muhasabah diri. Selamat hari raya, maaf zahir batin Tun.
Amin Yatim
Petaling Jaya
5 Ogos 2015
Petaling Jaya
5 Ogos 2015
No comments:
Post a Comment