Thursday, September 03, 2015
Baiah Tidak Boleh Dibayar Dengan Kafarah, Kata Haron Din
SHAH ALAM : Mursyidul Am PAS, Datuk Dr. Haron Din hari ini menolak
pendapat bahawa baiah dibuat oleh wakil rakyat PAS boleh ditebus dengan
membayar kafarah seperti disebut oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid
Samad semalam.
Haron berkata, baiah yang dibuat oleh kesemua Ahli Parlimen dan Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS itu sebenarnya berbaiah dengan Allah
SWT.
Sehubungan dengan itu, katanya tidak timbul soal membayar kafarah
seperti yang didakwa oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad semalam.
"Yang pertama hendaklah terlebih dahulu memahami perkara-perkara yang
boleh dibayar dengan kafarah dengan perkara-perakara yang yang tidak
boleh dibayar kafarah.
"Yang boleh dibayar dengan kafarah itu ialah sumpah, melanggar sumpah dan perlu bayar kafarah," katanya.
"Yang mereka hadapi sekarang ini ialah apa yang mereka lakukan ialah baiah.
"Baiah tidak boleh bayar kafarah sebab jelas daripada ayat Allah SWT
yang bermaksud sesungguhnya orang-orang yang berbaiah dengan kamu wahai
Muhammad, mereka sebenarnya berbaiah dengan Allah," katanya kepada
media.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Khalid Samad yang menyatakan wakil
rakyat PAS yang menyertai Amanah akan membayar kafarah yang sesuai
sebagai 'denda' kerana melanggar baiah parti itu.
"Dari segi melanggar baiah ini ada kaedahnya, di mana ada kafarah yang
perlu dibayar dan perkara ini akan saya lakukan dan akan diadakan sidang
media mengenainya esok," katanya.
"Kafarah ini macam denda. Memang dalam syariat Islam ini ada …. yang
membenarkan kita (yang) terpaksa melanggar sesuatu janji atas
sebab-sebab tertentu, maka kita boleh membayar kafarah untuk menebus
dosa atau pun kesalahan melanggar baiah ini," katanya.
Susulan kenyataan Khalid itu, Haron mengingatkan kesemua wakil rakyat
PAS untuk merujuk kepada pihak yang mempunyai autoriti berhubung isu
baiah yang mereka lafazkan.
"Maksud itu jelas, kalau mengkhianati baiah bermakna mereka mengkhianati Allah.
"Allah tidak perlu kepada kafarah, kerana itu maka terpulanglah kepada
setiap-setiap orang ada pandangannya, ada perkara yang dia rasa boleh
meyakinkan apa yang dia buat, akan tetapi saya menasihatkan hal-hal
keagamaan khususnya baiah yang mengaitkan dengan talak isteri, rujuklah
kepada orang yang autoriti," katanya.
Beliau turut menasihatkan supaya Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Mohd
Hatta Ramli merujuk kepada bidang kuasa mahkamah syariah ekoran
perjanjian baiahnya yang melibatkan talak tiga selepas melanggar bai'ah
tersebut.
"Kalau (baiah-talak), itu adalah bidang kuasa mahkamah syariah, ada
orangnya yang ada autoriti dan ada kuasa, bagi maksud kalau sudah
ternyata hubungan suami isteri sudah terpisah disebabkan talak tiga,
mereka tidak boleh lagi duduk serumah.
"Kalau berlaku juga, itu bidang kuasa penguatkuasaan," katanya.
Dalam perkembangan yang sama, Haron mengingatkan Hatta supaya tidak
menjadikan semua alasannya daripada ditegur oleh penguasa kerajaan atas
sebab 'mengaturkan hidupnya'.
Beliau berkata, ini ekoran teguran Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad
Yaakob terhadap Hatta berhubung 'cerai talak tiga' adalah sebahagian
daripada tanggungjawabnya sebagai pemimpin untuk menegur mana yang
salah.
"Maknanya dia tidak mengakui adanya perintah Allah amar ma'ruf dan nahi munkar.
"Amar ma'ruf itu memanglah kita perlu ambil tahu, dan nahi munkar pula
kepada semua orang dan masyarakat dan yang memberi komen kepada sahabat
kita Dr. Hatta Ramli itu ialah penguasa, seorang menteri besar, ketua
kerajaan, jadi memang tanggungjawab dia untuk mengekalkan yang amar
ma'ruf dan menghapuskan yang mungkar," tambahnya.
Malah beliau mengingatkan Hatta supaya memahami semula perkara-perkara 'fahishah' (perbuatan yang keji).
"Kalau sudah diputuskan atau dinyatakan dengan jelas oleh ketua hakim
syarie bahawa perkahwinannya telah terlerai atau pun tertalak, maka
hubungan yang berlaku selepas itu adalah perkara yang 'fahishah',"
katanya.
"(Fahishah) adalah yang wajib dicegah, maka itu adalah kewajipan mereka
(menteri besar Kelantan) mencegah dan memanglah mencegah itu ialah perlu
ambil tahu hal orang lain.
"Pertama sekali ialah pemerintah," katanya.
Haron turut memberikan contoh dalam al-Quran turut memperincikan
perkara-perkara baiah yang perlu diikuti oleh mereka yang berbaiah.
"Sesungguhnya sesiapa yang mengkhianati baiahnya, maka dia sebenarnya mengkhianati dirinya sendiri.
"Sesiapa yang menyempurnakan baiahnya, maka Allah akan menganjarkannya dengan pahala yang besar," katanya.
"Jadi sepanjang cerita tentang baiah dalam al-Quran tidak ada yang
dipanggilkan kafarah. Yang ada, yang besarnya, dia berbaiah dengan
Allah, dia menunaikan baiah itu dia akan dapat pahala dan jika dia
mengkhianatinya, dia khianat diri dia sendiri.
"Jadi itu sudah lebih daripada cukup untuk buat pengajaran," katanya.
Sementara itu dalam perkembangan yang sama, Haron turut meminta supaya
semua wakil rakyat tersebut tidak mencari alasan untuk mereka
menghalalkan cara dan membolehkan mereka mengkhianati baiah yang sudah
dilafazkannya bersama PAS.
"Berilah apa alasan pun yang boleh kita mereka begitu banyak alasan,
tetapi tanyalah hati kecil sendiri dan tanya iman, apakah yang mereka
buat itu diredhai oleh Allah atau tidak.
"Kalau mereka jawab redha takper, silakan, tidak ada masalah tetapi
tanyalah orang yang jujur dan memberi pandangan dan nasihat yang berguna
untuk kebaikan dunia dan akhirat...untuk kebaikan dunia dan
akhirat...perlu bersandar kepada hujah-hujah syarak bukan semata-mata
hujah akal," katanya.
Semalam, Khalid memberitahu berkemungkinan semua wakil rakyat PAS yang
menyertai Amanah akan membayar kafarah sebagai denda kepada pelanggaran
baiah itu.
Selain Khalid, Ahli Parlimen PAS yang menyertai Amanah ialah Datuk Dr
Mujahid Yusof (Parit Buntar), Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Dr
Hatta Ramli (Kuala Krai), Hanipa Maidin (Sepang), Raja Kamarul Bahrin
(Kuala Terengganu) dan Kamaruddin Jaafar (Tumpat).
Turut berbuat demikian adalah lima ADUN PAS iaitu Datuk Seri Dr Nizar
Jamaluddin (Changkat Jering), Aminolhuda Hassan (Parit Yaani), Datuk
Phahrolrazi Zawawi (Pengkalan Kundor), Saari Sungib (Hulu Klang) dan
Hasnul Baharudin (Morib).
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment