KUALA LUMPUR : Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk
Zainal Rafique menyelar perbuatan melampau peserta Bersih yang memijak
gambar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas, Datuk
Haji Abdul Hadi Awang termasuk membawa penyapu, poster kata-kata kesat
dan mengingatkan pihak yang berkenaan bahawa perbuatan tersebut
bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh.
Menurut beliau, pihak yang melakukan perkara tersebut ternyata amat
cetek pemikiran serta tidak memahami adat resam budaya Melayu biarpun
memegang status warganegara di negara ini.
“Apakah mereka fikir, perbuatan memijak gambar dua pemimpin
Melayu, membawa penyapu, poster kata-kata kesat itu sebagai satu perkara
yang boleh dibuat main-main dan remeh temeh? Tidakkah mereka tahu
bahawa itu adalah penghinaan kepada bangsa Melayu, khususnya pada ahli
UMNO dan Pas apabila gambar dua pemimpin Melayu dipijak-pihak dan dihina
sedemikian rupa?
“Begitu juga dengan tindakan sebahagian daripada peserta Bersih yang
membawa penyapu. Apa maksud mereka? Apa yang mereka hendak sapu? Apakah
mereka mahu sapu pemimpin Melayu?
Perbuatan mereka itu jelas merupakan
satu provokasi yang amat menghina,” soalnya tegas.
Beliau seterusnya mengingatkan rakyat di negara ini agar jangan
memandang remeh perbuatan yang menghina pemimpin dan juga kaum tertentu.
“Kita perlu ingat, bahawa negara kita ini berbilang kaum. Selama ini
kita hidup aman kerana antara kita saling hormat menghormati dan
memahami kepercayaan agama, adat resam dan budaya, serta toleransi yang
ada diantara tiga kaum terbesar di negara ini.
“Sejarah telah membuktikan bahawa perbuatan mencela dan menghina kaum
lain, tidak akan mendatangkan kebaikan kepada negara. Perbuatan seperti
yang dilakukan oleh peserta Bersih itu boleh menyebabkan timbulnya
semangat perkauman yang melampau yang akhirnya boleh mencetuskan kepada
pertelingkahan kaum.
“Isu kaum dan bangsa jangan dipandang remeh. Pembangkang jangan lupa
perkara itu dan jangan sesekali cuba untuk mencetuskan sebab-sebab yang
boleh menyebabkan timbul semula sentimen perkauman yang akhirnya tidak
dapat kita kawal,” ujarnya.
Sementara itu, beliau sejak dari dulu menegaskan bahawa jelas
ternampak bahawa agenda Bersih ini bukanlah benar-benar telus dan ia
sebenarnya lebih kepada menjadi kuda tunggangan bagi parti-parti
politik pembangkang.
“Sebab itu saya katakan bahawa rakyat hanya dipergunakan oleh mereka.
Mereka penganjur dan pemimpin pembangkang dapat nama, tetapi peserta
Bersih tidur bergelimpangan di atas jalan bagaikan pengemis atas nama
perjuangan. Kepada rakyat di negara ini, cukup-cukuplah tertipu dengan
pembangkang yang sebenarnya mempergunakan anda untuk kepentingan politik
dan kocek mereka sendiri,”akhirinya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
No comments:
Post a Comment