PUTRAJAYA : Malaysia tidak berdepan dengan krisis
rasuah, cuma negara ini “belum bebas daripada kesulitan”, kata pengasas
bersama Transparency International Michael Hershman.
Beliau berkata Malaysia perlu memberi penjelasan tentang “suatu
perkara yang mendapat perhatian dunia” ketika ini, iaitu isu 1Malaysia
Development Berhad.
Isu ini perlu diselesaikan bagi membolehkan Malaysia meneruskan
langkah transformasinya, kata beliau kepada pemberita pada sesi bengkel
bersempena Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) Ke-16 di sini hari
ini.
Hershman berkhidmat sebagai anggota Lembaga Penasihat
Antarabangsa, Jawatankuasa Program Transformasi Kerajaan Malaysia selama
tiga tahun bermula 2010.
Terdahulu, beliau membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Memerangi
Rasuah oleh Pihak Berkuasa: Apa Yang Berjaya dan Apa Yang Tersilap”
bersama-sama Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia Datuk Mustafar Ali, bekas Timbalan Pesuruhjaya Suruhanjaya
Bebas Menentang Rasuah Hong Kong Daniel Li Ming Chak dan Pengarah Biro
Pencegahan Rasuah Brunei Datuk Muhammad Juanda A Rashid.
Moderator sesi bengkel itu ialah anggota Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM Datuk Seri Azman Ujang.
Hershman berkata masalah rasuah di Malaysia masih terkawal, walaupun
banyak lagi usaha perlu dilakukan, termasuk mewujudkan peraturan
mengenai pembiayaan institusi politik.
Sebelum ini, Hershman dilaporkan berkata masalah rasuah di Malaysia
adalah terkawal dan menurut beliau, peningkatan jumlah pelaburan untuk
mencegahnya menjadi bukti tentang perkara itu.
Beliau juga menyatakan bahawa pelaburan tidak akan berkembang di sesebuah negara yang dikuasai rasuah.
Persidangan tiga hari itu, yang dihadiri kira-kira 1,000 anggota
perwakilan dari 130 negara, berakhir esok di Pusat Konvensyen
Antarabangsa Putrajaya di sini.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
No comments:
Post a Comment