EDITOR MENULIS...
22 SEPTEMBER 2015
Seorang Perdana Menteri Malaysia yang dikagumi pernah berkata bahawa
sekiranya kaum bukan Melayu di negara kita berjuang dan menuntut hak
mereka walaupun mereka tidak wajar meminta-minta selain dari apa yang
telah ditentukan perlembagaan, maka itu mereka menganggap 'perjuangan'
kaum mereka.
Namun, sekiranya bangsa Melayu tampil bersuara menyatakan hak dan
mempertahankan kedudukan bangsa Melayu sebagaimana yang termaktub di
dalam perlembagaan, maka ia dianggap oleh masyarakat bukan Melayu itu
sebagai rasis atau perkauman.
Setuju atau tidak, itulah yang pernah ditegaskan oleh mantan Perdana
Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika beliau menjadi Presiden UMNO
selama 22 tahun. Ketika itu ramai yang bertepuk dan bersetuju dengannya,
kecuali DAP dan parti pembangkang.
Walau bagaimanapun, polemik itu sudah bertukar di zaman pentadbiran
Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak. Malah, Tun Dr Mahathir
sendiri sanggup 'menjilat' kembali 'ludah'nya apabila mengkritik keras
himpunan Rakyat Bersatu yang berhimpun cuba mengembalikan maruah bangsa
Melayu yang kian tercalar dan dicabar.
Himpunan tersebut langsung tidak menafikan hak kaum lain di negara kita,
namun mereka dituduh sebagai rasis. Padahal, mereka hanya berhimpun
untuk membuktikan suara Melayu masih lagi mampu 'menggegarkan' negara.
Dalam pengamatan saya mengenai 14 resolusi yang disimpulkan pada
himpunan 'baju merah' itu, tiada satu pun darinya yang menafikan hak
kaum lain di negara kita. Malah tidak ada satu pun yang bersalahan dari
perlembagaan negara.
Sama ada tujuan mahupun resolusi himpunan Rakyat Bersatu, mereka hanya
menyuarakan tentang ketidakpuasan hati terhadap himpunan Bersih 4 yang
berhimpun secara haram, melakukan provokasi perkauman terhadap dua
pemimpin parti Melayu Islam terbesar negara.
Malah, himpunan 'baju merah' itu hanya berhimpun untuk mempertahankan
hak serta keistimewaan bangsa Melayu sebagaimana yang termaktub di dalam
perlembagaan. Apa salahnya? Di mana pula timbul rasisnya?
Apa yang saya kesalkan, ada pula beberapa 'si kitul' dari kalangan
bangsa Melayu itu sendiri yang mengatakan himpunan tersebut sebagai
kegiatan negatif yang berunsur perkauman. Apakah itu maksud sebenar
perkauman di akal mereka?
Jadi, apakah himpunan-himpunan yang dilakukan oleh pejuang-pejuang
bangsa dan nasionalis sebelum merdeka itu juga dianggap sebagai
perkauman atau rasis? Sekiranya benar ia perkauman, maka kemerdekaan
Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 dulu terbina dari asas
perkauman?
Apakah masyarakat bukan Melayu di Malaysia ini fikir Melayu tidak punya
perasaan? Boleh dihina, diherdik, dicabar dan dipersenda sesuka hati
mereka? Bila Melayu bangkit, maka Melayu itu dituduh sebagai rasis?
Apakah yang akan berlaku jika ada di kalangan bangsa Melayu yang sengaja
mencetus provokasi menghina, mencabar, mengherdik dan mempersenda kaum
Cina? Marah, bukan? Jelaslah kaum Cina punya perasaan. Tapi bangsa
Melayu ini tiada perasaan, kah?
Apabila tuan rumah sanggup berkongsi rumah, periuk belanga di dapur,
berkongsi bilik, berkongsi ruang tamu, bertolak ansur di ruang laman,
berkongsi bilik air dan serba-serbinya dikongsi bersama, apakah wajar 58
tahun kemudian tuan rumah itu dinafikan hak untuk bersuara menyatakan
haknya di dalam rumah sendiri?
Apakah dengan berbuat demikian maka tuan rumah itu wajar dilabel sebagai rasis?
Sekiranya saya bersama ribuan bangsa Melayu bermastautin di China
selama puluhan tahun buat 'macam rumah sendiri', dan kemudian kami
persoal, mencabar dan mempersenda hak dan keistimewaan bangsa Cina di
negara itu, apa agaknya yang akan berlaku? Apakah bangsa Cina di negara
China yang marah dengan tindakan kami itu wajar dituduh sebagai rasis?
Pada pandangan saya, bangsa Melayu tidak meminta untuk disembah
mahupun dipanggil 'bos'. Namun cukuplah sekadar tahu diri sendiri,
kedudukan masing-masing dan hak masing-masing tanpa mempersoal hak yang
lain.
Menuntut hak ada batasannya. Sekiranya hak itu termaktub di dalam
perlembagaan, kontrak sosial atau jus soli, maka ia wajar ditunaikan.
Namun sekiranya tiada, tidak wajarlah mengada-ngada hendak itu dan ini.
Itu melampau namanya...
Saya menyeru kepada semua rakan-rakan bukan Melayu supaya memahami
sensitiviti dan cuba berasimilisasi dengan agama, budaya dan adat resam
'tuan rumah' bagai dulu. Saya yakin, bangsa Melayu bukanlah bangsa
yang tidak berhati perut. Jika Melayu kejam, sudah pasti jus soli itu
tidak wujud. Cuba cari apa maksudnya jus soli itu.
Saya sememangnya sangat menghormati 'orang lama' dari kaum Cina dan
India. Mereka amat menghormati dan tahu menghargai bangsa Melayu.
Berbeza benar sikap dan pendekatan mereka dengan generasi bukan Melayu
yang hari ini.
Justeru itu, saya berharap agar rakan-rakan bukan Melayu renung
semasak-masaknya tentang pengertian kontrak sosial, jus soli dan
perlembagaan negara. Renungkan sejauh mungkin dan fahami, mengapa bangsa
Melayu mula bangkit bersuara...
Fikir-fikirkanlah...
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Sdr Syamsul Amri Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
No comments:
Post a Comment