KUALA LUMPUR : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
menggesa pembikin-pembikin filem Malaysia supaya keluar daripada zon
selesa dan berusaha untuk menghasilkan karya-karya bertaraf
antarabangsa.
Beliau berkata kecenderungan mereka untuk menggunakan formula yang
sama setiap kali menghasilkan filem semata-mata untuk mendapatkan hasil
kutipan yang tinggi tidak akan membantu meningkatkan martabat industri
perfileman negara.
“Saya faham akan kecenderungan pembikin filem untuk menggunakan
formula yang sama bagi memastikan kejayaan filemnya … itu adalah realiti
imbangan antara pelaburan dan kutipan hasil.
“Namun tindakan sedemikian secara berterusan tidak akan membantu
membangunkan industri filem tanah air. Mutu filem yang dihasilkan akan
kekal pada tahap yang sama dan akhirnya industri Malaysia akan
ketinggalan,” katanya di Majlis Perasmian Ekspo Filem Malaysia 2015 di
Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.
Ekspo itu dianjurkan oleh Perbadanan Filem Nasional (FINAS) bertujuan
sebagai platform kepada penggiat industri untuk berkongsi ilmu,
kepakaran dan teknologi.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia
(KKMM) Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Ketua Setiausaha kementerian
berkenaan, Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad, serta
penggiat-penggiat seni tanah air.
Dalam pada itu, perdana menteri mahu pelabur-pelabur industri filem
untuk terus menyokong pembikin-pembikin filem yang berani menghasilkan
karya yang lain daripada yang lain, asalkan ia mempunyai potensi untuk
kejayaan komersial.
“Hanya dengan kesanggupan ini, dan dengan kerjasama antara pembikin filem dan pelabur, barulah karya-karya bermutu tinggi dapat dihasilkan,” katanya lagi.
Selain itu, Najib berkata kerajaan akan terus prihatin dan peka
kepada setiap kertas cadangan dan masalah serta kekangan yang dihadapi
oleh penggiat seni tanah air.
Beliau berkata setiap cadangan dan permasalahan yang dibangkitkan
akan dikaji dan diperhalusi sewajarnya oleh kerajaan melalui KKMM.
“Sinergi usahasama positif yang erat antara penggiat seni dan
kerajaan ini amat penting dalam memastikan kepentingan kedua-dua belah
pihak sentiasa terpelihara.
“Adalah menjadi harapan saya untuk melihat industri kreatif negara
dapat terus dipacu agar setanding dengan negara-negara maju, namun dalam
masa yang sama, masih mengekalkan identiti nasional negara yang
bercirikan budaya Malaysia,” kata perdana menteri.
Di akhir ucapannya, Najib berharap agar Ekspo Filem Malaysia itu
dapat menjadi platform kepada penggiat seni untuk berkongsi kepakaran
dan teknologi di sebalik tabir pembikinan sesebuah filem.
“Saya yakin program sebegini mampu menjana kepada pembangunan
kreativiti generasi muda dan secara tidak langsung melahirkan rakyat
yang dinamik dan kreatif secara holistiknya.
“Kerajaan yakin program sebegini akan merangsang pertumbuhan ekonomi
berasaskan inovasi sebagai sumber kemajuan serta pelbagai peluang
ekonomi baharu,” katanya.
Najib berkata sekiranya apa yang digariskan dapat dicapai, pendapatan
negara, produktiviti serta kualiti hidup akan meningkat dan seterusnya
menjamin kesejahteraan serta kemakmuran yang berterusan untuk rakyat dan
negara secara amnya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
No comments:
Post a Comment