KOTA BHARU : Anggota Parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli perlu memberi
penjelasan kepada Mahkamah Syariah negeri berhubung taklik cerai talak
tiga yang dibaiahnya, kata Ketua Hakim Syarie Kelantan Datuk Daud
Mohammad.
Daud berkata Dr Hatta tidak wajar membuat keputusan sendiri tanpa
melalui proses perbicaraan dan berkemungkinan beliau keliru antara baiah
mengosongkan kerusi sebagai anggota Parlimen dan lafaz taklik.
"Kalau dia langgar sumpah, dia boleh bayar kifarat. Tapi berbeza dengan
taklik... kalau dia lafaz taklik macam tu (cerai talak tiga), maka kena
ikutlah.
Untuk kes taklik tak ada kifarat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Khamis.
Semalam, PAS Kelantan mengesahkan taklik lafaz cerai talak tiga yang
dikenakan parti itu ke atas wakil rakyatnya di negeri ini adalah bagi
mengelak mereka melompat parti adalah sah di sisi perundangan Islam.
Daud berkata jika terdapat keraguan berhubung talak, perkara itu perlu ditentukan oleh mahkamah.
"Dia kena sahkan di mahkamah... sahkan dulu. Kalau dia kata tak jatuh,
buat permohonan dan kemukakan alasan. Kemudian mahkamah akan buat
keputusan.
"Kalau seseorang itu ragu-ragu tentang talak ini, dia kena tentukan di
mahkamah untuk sahkan atau tidak. Undang-undang (Malaysia) kata begitu.
Dia tak boleh kata begitu, bertaklik tapi tak jatuh (talak), tak
selesai. Mungkin dia keliru dengan kifarat," katanya.
Sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Parti
Pekerja-pekerja Malaysia di Tanah Merah malam tadi, Dr Hatta mendakwa
perkahwinannya tidak terbubar kerana telah membayar kifarat kepada baiah
berkenaan.
Katanya beliau telah merujuk masalah berkenaan kepada beberapa ulama di
dalam dan luar negara, antaranya penasihat Parti Pekerja-pekerja
Malaysia (PPM) Ahmad Awang, Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan
ulama Mesir Sheikh Yusuf al-Qaradawi.
"Kita dinasihat oleh penasihat umum kita, Ustaz Ahmad Awang (berhubung
lafaz cerai). Tak menjadi masalah, kehidupan diteruskan, perjuangan
diteruskan. Kita bayar kifaratlah kepada baiah, beri makan 10 orang...
itu dah memang tercatat.
Ustaz-ustaz, ulama-ulama tahu benda itu.
"Saya mempunyai cukup alasan dan panduan untuk tidak mengambil pandangan
sedemikian (jatuh talak) walaupun datang daripada seorang Menteri
Besar, ataupun seorang Timbalan Menteri Besar... hatta mufti (Mufti
Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad) sekalipun," katanya.
Ditanya mengenai anjuran Daud sebelum ini supaya beliau ke Mahkamah
Syariah untuk mendaftarkan penceraiannya, Dr Hatta berkata: "Saya tak
akan pergi.. tak ada kaitan."
PAS pada Selasa mengesahkan sebanyak 22 bekas pemimpinnya termasuk Dr
Hatta bukan lagi anggota parti berkenaan sebaik sahaja mereka menyertai
Parti Pekerja-pekerja Malaysia (PPM) yang diambil alih oleh Gerakan
Harapan Baru (GHB) dan akan dijenamakan semula sebagai Parti Amanah
Negara (Amanah).
Sebelum ini, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata PAS memperkenalkan
baiah atau sumpah kepada wakil rakyatnya di seluruh negara yang
bertanding atas tiket parti itu sejak 2004 yang mesti mengosongkan
kerusi mereka jika meninggalkan atau melompat ke parti lain dengan
sukarela.
Katanya bekas Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
telah menambah syarat bahawa wakil rakyat PAS di Kelantan perlu
bertaklik dengan melafazkan cerai talak tiga terhadap isteri
masing-masing.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:
Post a Comment