Thursday, September 03, 2015
PLKN 2.0 Beri Peluang Kedua Pelatih Tidak Dapat Ke Universiti Belajar Kemahiran
BATU PAHAT : Program Latihan Khidmat Negara 2.0 (PLKN 2.0)
yang bermula Januari tahun depan bakal menyaksikan pelatih yang tidak
dapat melanjutkan pelajaran di universiti mempelajari kemahiran yang
berguna untuk alam pekerjaan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata
Kementerian Pertahanan ketika ini sedang giat menjalankan transformasi
PLKN dengan dibantu oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan
(PEMANDU) dan Kementerian Belia dan Sukan.
“Penekanan itu adalah untuk memberi peluang kedua kepada pelatih-pelatih PLKN dari segi kemahiran.
“Beberapa bulan kebelakangan ini, kita dah buat transformasi kepada
dimensi latihan juga untuk mendapatkan syarikat memberikan pekerjaan,
merupakan pendekatan baru PLKN 2.0,” katanya kepada pemberita selepas
menghadiri majlis bersama Kepimpinan Negara sempena Minggu Haluan Siswa
Pelajar Baharu di Universiti Tun Hussein Onn, di sini hari ini.
Hishammuddin berkata lapan minggu latihan dan seterusnya latihan di
institut kemahiran yang mungkin mengambil masa minimum tiga bulan
sehingga maksimum 24 bulan.
“Ini merupakan transformasi sepenuhnya. Bagi pusat-pusat kemahiran
ini kita akan gunakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dan bakal
melibatkan kementerian-kementerian lain, terpulang kepada kursus apa
yang dipilih oleh pelatih,” kata beliau.
Hishammudin berkata pengambilan secara sukarela akan dilaksanakan secara berperingkat dengan pelaksanaan sepenuhnya pada 2019.
“Harapan saya supaya ramai dapat membantu kerana golongan pelatih ini
kalau kita tak beri peluang, mereka akan berada dalam golongan
terpinggir yang tiada pekerjaan dan tiada kemahiran dan tiada masa
depan,” kata beliau.
Selain itu, maklum balas daripada mereka yang berkepentingan dan
bekas pelatih dan jurulatih PLKN juga diharapkan dapat membantu
transformasi berkenaan.
“PLKN merupakan satu cara untuk memastikan anak-anak kita turut
terbela dan ini yang sedang kita lakukan melalui PLKN,” kata beliau.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment