BATU KAWAN : Kerajaan pimpinan DAP Pulau Pinang boleh
dikenakan tindakan kerana meluluskan lebih 2,428 hektar untuk aktiviti
tambakan laut kepada sebuah pemaju baru-baru ini, kata Menteri
Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman
Dahlan.
Beliau berkata ini kerana projek tambakan laut melebihi 100 hektar
atau melibatkan 10,000 orang, seharusnya mendapatkan kelulusan Majlis
Perancang Fizikal Negara (MPFN).
“Kami sedang meneliti dari segi perundangan apakah tindakan yang
boleh diambil terhadap pihak yang tidak mengikut peraturan … sama ada
boleh menghentikan projek berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas
merasmikan Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)
Pulau Pinang bernilai RM17 juta yang siap dibina 30 Mac 2014, di sini
hari ini.
Beliau berkata kerajaan negeri tidak pernah membawa isu ini kepada
MPFN yang ditubuhkan pada 2003 untuk menyelaras semua dasar dan aktiviti
berkaitan perancangan bandar dan desa bagi memastikan penggunaan sumber
dan pembangunan yang lebih seimbang dan mampan di peringkat negeri dan
negara.
Katanya isu tambakan laut di Pulau Pinang bukan satu isu baharu dan
DAP dalam manifesto pilihan raya umum 2008 pernah berjanji akan
menyelesaikan isu itu.
Semalam, Setiausaha Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong telah
mengeluarkan satu kenyataan berhubung kelulusan diberikan kerajaan
negeri kepada sebuah syarikat pemaju untuk menjalankan aktiviti tambakan
laut seluas kira-kira 2,428 hektar.
Abdul Rahman juga berkata aktiviti tambakan laut seluas itu akan
membawa kesan negatif kepada negara dalam tempoh jangka panjang
sekiranya tidak dipantau.
Menurutnya, selama ini Ketua Menteri Lim Guan Eng tidak pernah
membawa isu tambakan laut dalam MPFN walaupun aktiviti itu sedang giat
dijalankan di Pulau Pinang.
“Saya berasa kecewa dengan tindakan Lim yang gagal mengikut kaedah yang betul dan terlalu banyak memainkan isu-isu politik sehingga mengabaikan tanggungjawab,” katanya.
Ketika diminta mengulas penubuhan Agensi Pengurusan Bencana Negara
(APBN) bagi menyelaras dan mengurus bantuan bencana dalam negara dengan
lebih teratur dan efektif, Abdul Rahman berkata mengikut arahan Majlis
Keselamatan Negara (MKN) 20, agensi utama untuk bertindak apabila
berlaku bencana ialah JBPM dan Polis Diraja Malaysia.
Katanya MKN 20 (arahan yang menggariskan mekanisme pengurusan dan
bantuan sebelum, semasadan selepas kejadian bencana) telah meletakkan
JBPM sebagai agensi utama untuk kerja-kerja menyelamat sekiranya berlaku
apa-apa bencana.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
No comments:
Post a Comment