Monday, November 09, 2015

Husam Menonjol Sebagai 'Duri Dalam Daging' Pada PAS

Secara teknikalnya, ADUN Salor Kelantan Datuk Husam Musa masih ahli PAS... ini kerana bekas Naib Presiden PAS itu tidak umum keluar parti walaupun gembar-gemburnya beliau merupakan salah seorang 'mastermain' Parti Amanah Negara (PAN) di Kelantan.


Ketika kawan-kawan rapatnya keluar PAS dan menyertai Amanah... Husam memilih untuk kekal dalam PAS dan 'buat kacau'.

Beberapa siri surat terbukanya kepada kerajaan negeri Kelantan menarik perhatian berbagai pihak kerana dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh pimpinan parti Islam itu.

Husam yang 'tersingkir' dari kepimpinan kerajaan negeri PAS Kelantan sejak lepas PRU13 nampaknya kini  selesa menjadi 'duri dalam daging' dengan menyerang parti dan individu tertentu dalam PAS.

Sasaran biasanya adalah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Terbaru Husam mendakwa Hadi pernah mengaku berniat mahu mewujudkan kerajaan gabungan dengan UMNO Barisan Nasional (BN) yang dinafikan keras oleh kedua-dua pihak sehingga PAS mahu mengambil tindakan terhadap Husam.

Melalui laman web rasmi parti itu, PAS mahu Husam meminta maaf daripada Abdul Hadi secepat mungkin.

"Tuduhan jahat ke atas Tuan Guru Presiden PAS oleh Datuk Husam Musa bahawa Tuan Guru Presiden mahu bekerjasama dengan UMNO Selangor bersama beberapa ADUN PKR.

"Sebenarnya (dakwaan itu) telah pun dinafikan pada tahun lepas lagi melalui kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Politik Tuan Guru Presiden PAS, Dr Ahmad Shamsuri", kata kenyataan tersebut.

Ahmad Shamsuri juga sudah menjawab objektif utama pertemuan antara Hadi dengan Mohamed Azmin Ali sebaik sahaja Timbalan Presiden PKR itu dilantik menjadi Menteri Besar Selangor yang baru, menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Hadi (Datuk Seri) yang mencalonkan nama beliau (Azmin Ali) sebagai calon Menteri Besar Selangor pada 17 Ogos (tahun) lalu, selain dari meminta kata nasihat dan pandangan secara umum sebagai panduan untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat.

"Tiada disebut langsung mengenai kerajaan perpaduan bersama UMNO seperti yang didakwa. Pihak kami amat kesal dengan fitnah yang sengaja diwujudkan untuk mengelirukan rakyat", tulis Dr. Ahmad.

Husam dalam ceramahnya di Kota Baru pada Khamis lalu mendedahkan bahawa Hadi pernah merancang untuk menubuhkan kerajaan perpaduan dengan UMNO di Selangor.

Sementara itu, Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata Husam sepatutnya menggunakan saluran yang betul untuk menyuarakan pandangan.

"Tidak kena mengkritik atau menyerang parti dan presiden secara terbuka. Kita selalu sebut kita ada saluran.

"Tok Guru (Allahyarham Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) pernah sebut parti umpama rumah tangga dan kita tidak boleh bercakap isu rumah tangga di kedai kopi," katanya. 


Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment