PETALING JAYA : Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)
mendakwa mualaf, Alwi Chan Abdullah yang terpaksa menggunakan Facebook
untuk mendapatkan sumbangan bagi membiayai kos pembedahan dan perubatan
anaknya salah faham mengenai saluran yang betul untuk memohon bantuan.
Pengurus Baitulmal MAIWP, Mohd Nizam Yahya berkata pihaknya bukan tidak
mahu membantu Alwi tetapi bapa kepada empat orang anak itu memohon
bantuan di saluran yang salah.
"Proses untuk mendapat bantuan bagi mualaf sebenarnya amat mudah. Namun,
Alwi sendiri salah faham, dia pergi ke saluran yang salah. PPZ-MAIWP
secara khususnya adalah untuk urusan kutipan zakat sahaja.
"Sepatutnya dia ke Baitulmal MAIWP, agensi yang bertanggungjawab
menguruskan agihan zakat. Saya pun tidak pasti mengapa dia tidak ke
pejabat kami untuk membincangkan masalahnya," katanya kepada mStar
Online.
Malah, Mohd Nizam turut kecewa kerana Alwi terus membangkitkan perkara
tersebut kepada pihak media tanpa membincangkan masalahnya dengan pihak
Baitulmal MAIWP.
"Dia antara asnaf yang kami santuni semasa ditemui hidup sebagai gelandangan di Pudu Sentral sebelum ini," kata Mohd Nizam.
Jelas beliau lagi, Baitulmal MAIWP bersedia mempertimbangkan permohonan
beliau sekiranya menepati syarat yang ditetapkan dan segala dokumen yang
diperlukan disertakan bersama.
"Dia boleh mohon sebab kita ada sediakan bantuan perubatan dan
pembedahan. Permohonan akan diproses dalam tempoh dua minggu jika
permohonan tidak melebihi RM20,000 setahun," katanya.
Beliau berkata, memandangkan Alwi kini menetap di Selayang, Selangor,
maka Baitulmal MAIWP memutuskan agar kes tersebut diuruskan Lembaga
Zakat Selangor (LZS) berkuatkuasa pada Isnin.
"Selepas meneliti perkara ini, maka kami putuskan kes Alwi akan
diuruskan LZS. Ini selepas mengambil kira dia kini bermastautin di
Selangor," katanya.
Namun, Mohd Nizam berkata bantuan bulanan RM500 yang diterima Alwi
daripada Baitulmal MAIWP sejak tiga bulan lalu akan diteruskan sehingga
permohonannya dengan LZS diluluskan.
"Walaupun kita tidak akan mengendalikan kes Alwi selepas ini, bantuan
bulanan tetap akan diteruskan. Ia akan ditamatkan sebaik sahaja
permohonan bantuan dia dengan LZS diluluskan," katanya.
Terdahulu, Alwi menerusi laporan yang dikeluarkan mStar Online berkata
beliau serik berurusan dengan Baitulmal MAIWP untuk memohon bantuan yang
didakwa rumit.
Justeru, beliau terpaksa menagih simpati bantuan rakan-rakan di Facebook
bagi menampung kos pembedahan dan perubatan anak bongsunya, Danial
Oktavian Chan yang kini baru berusia lebih sebulan akibat masalah
jantung.
Alwi mendakwa sejak dilahirkan pada 16 September lalu, anak bongsunya
itu sering keluar masuk Hospital Ampang kerana keadaan jantungnya yang
lemah.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:
Post a Comment