Tuesday, November 03, 2015
Siaran TV Digital Percuma (MYTV) Bermula Sepenuhnya Awal Tahun Depan
CYBERJAYA : Rakyat Malaysia bakal menikmati siaran televisyen digital
sepenuhnya secara percuma bermula awal tahun depan dengan adanya
perkhidmatan siaran Televisyen Terestrial Digital yang akan dikendalikan
oleh MYTV Broadcasting Sdn Bhd (MYTV).
Ketua Pegawai Operasi MYTV, Mohamed Redzwan Yahya bagaimanapun berkata
untuk menikmati perkhidmatan tersebut, pengguna perlu terlebih dahulu
memiliki set dekoder atau Set Top Box atau televisyen yang mampu
menerima siaran digital secara langsung yang dikenali sebagai iDTV.
Katanya untuk itu, set-set dekoder dan televisyen berkenaan perlu
mempunyai label khas bagi penerimaan siaran DTTB yang diperkenal oleh
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dikenali sebagai
'Label Pengguna Alat Penerima DTTB atau ringkasnya 'DTTB Malaysia' yang
akan mula diguna pakai awal tahun hadapan.
"Dengan adanya label khas ini, pengguna dapat memastikan mereka hanya
membeli alat penerima siaran DTTB seperti dekoder dan televisyen yang
disahkan untuk menikmati siaran digital dengan kualiti gambar serta
audio terbaik, katanya kepada pemberita selepas seminar Label Pengguna
Alat Penerimaan DTTB di sini baru-baru ini.
MYTV selaku pelaksana dan pengendali infrastruktur DTTB di Malaysia juga
memegang hak ekslusif penjualan serta pengedaran dekoder DTTB di negara
ini dan semua dekoder dilengkapi label DTTV Malaysia.
Label DTTB Malaysia diperkenalkan oleh SKMM dan pengeluarannya dikawal selia oleh SIRIM QAS International Sdn Bhd.
Menjelas lanjut mengenai DTTB Mohamed Redzwan berkata fasa pertama
siaran yang dijadual awal 2016 akan meliputi kira-kira 85 peratus
kawasan berpenduduk di seluruh negara sebelum dipertingkat kepada 98
peratus menjelang akhir 2016.
"Liputan kita adalah berdasarkan kepada populasi penduduk di sesuatu
kawasan kerana pihak MYTV mahu memastikan setiap rakyat yang layak dapat
menikmati perkhidmatan DTTB ini," katanya.
Beliau berkata menerusi perkhidmatan DTTB, penonton di negara ini akan
menikmati banyak manfaat seperti kualiti gambar dan bunyi yang lebih
baik, pilihan saluran siaran percuma lebih banyak selain akses
perkhidmatan televisyen interaktif termasuk membeli belah dari rumah
serta menonton video atas pemintaan.
Menurut Mohamed Redzwan sebanyak dua juta set dekoder akan diedar dan
diberi secara percuma kepada isi rumah yang yang layak iaitu mereka yang
tergolong dalam kelompok pendapatan 40 peratus ke bawah (B40).
Beliau berkata pengguna hanya perlu menyambungkan alat dekoder kepada
antena dalaman yang termasuk dalam pakej dekoder itu, ataupun kepada
antena terestrial luaran yang sedia ada untuk menikmati siaran DTTB
kelak.
Mengenai kos pelaksanaan Mohamed Redzwan memberitahu projek DTTB itu
merupakan inisiatif pembiayaan swasta dan pihak MYTV memperuntukkan
pelaburan sebanyak RM4.5 bilion bagi tempoh 15 tahun.
MYTV merupakan syarikat yang diberi lesen oleh kerajaan untuk membangun
dan menguruskan infrastruktur serta kemudahan rangkaian bagi
perkhidmatan DTTB di Malaysia sebagai usaha melaksanakan penghijrahan
system penyiaran nasional daripada analog kepada digital menjelang 2017.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment