Wednesday, January 06, 2016
Ibu Tunggal Nafi Anak Kongsi Baju Sekolah Seperti Viral Di Laman Sosial
BUKIT MERTAJAM : Seorang ibu tunggal menafikan anak lelakinya lambat
mendaftar di tingkatan satu di sebuah sekolah di Permatang Rawa di sini,
kerana terpaksa berkongsi pakaian sekolah dengan abangnya seperti yang
tersebar di laman sosial termasuk Facebook, Rabu.
Fadilah Hashim, 45, berkata walaupun mereka sekeluarga susah, beliau
masih mampu menyediakan pakaian sekolah untuk tiga anaknya termasuk dua
anak lelaki yang belajar di sekolah yang sama.
"Saya terkejut apabila didatangi pelbagai pihak termasuk Zakat Pulau
Pinang (ZPP) selepas gambar anak saya menjadi viral hari ini...memang
betul kami susah tetapi setiap bulan saya terima bantuan dari ZPP dan
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Mereka datang bertanya sama ada saya memang tidak mampu menyediakan
pakaian dan tiada duit untuk anak-anak bersekolah dan saya menafikannya
kerana telah menyiapkan kelengkapan sekolah mereka...cuma anak bongsu
yang tingkatan satu itu lambat mendaftar kerana baru tahu dia bersekolah
di situ," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di
Permatang Rawa, Rabu.
Gambar mengenai seorang pelajar tingkatan satu yang baru mendaftar
persekolahan hari ini kerana dikatakan terpaksa meminjam pakaian
abangnya yang menuntut di tingkatan empat sekolah yang sama, menjadi
viral Rabu.
Remaja itu dikatakan dari keluarga susah selepas ibu bapanya bercerai dan ibunya tidak bekerja.
Fadilah berkata beliau yang mengambil upah mengopek ikan bilis dengan
pendapatan RM8.50 sehari, sedih dengan cerita yang menjadi viral itu
dan berharap mereka yang memuat naik gambar itu dalam laman sosial dapat
tampil memberi penjelasan sebenar.
"Setiap bulan saya terima bantuan sebanyak RM400 dari ZPP dan RM300 dari
JKM, ia sedikit sebanyak membantu meringankan beban saya untuk
menampung perbelanjaan tiga anak berusia 13 hingga 16 tahun," katanya.
Beliau yang bercerai dengan suami sejak lima tahun lepas, tinggal di
rumah yang dibina menerusi Projek Perumahan Rakyat di Mukim 7 Permatang
Rawa.
Sementara itu, Penolong Pengurus Besar ZPP Mohd Khairi Ghazali berkata
pihaknya segera ke rumah keluarga berkenaan selepas mendapat maklumat
menerusi laman sosial seperti yang diviralkan untuk melihat sendiri
keadaan mereka.
"Kami juga terkejut kerana memang sebelum ini keluarga ibu tunggal itu menerima bantuan ZPP sejak 2012," katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment