Seorang ibu tunggal menafikan anak lelakinya
lambat mendaftar di tingkatan satu di sebuah sekolah di Permatang Rawa
di Bukit Mertajam, kerana terpaksa berkongsi pakaian sekolah dengan
abangnya seperti yang tersebar di laman sosial termasuk Facebook pada
Rabu.
Fadzilah Hashim, 45, berkata walaupun mereka sekeluarga susah, beliau
masih mampu menyediakan pakaian sekolah untuk tiga anaknya termasuk dua
anak lelaki yang belajar di sekolah yang sama.
“Saya terkejut apabila didatangi pelbagai pihak termasuk Zakat Pulau
Pinang (ZPP) selepas gambar anak saya menjadi viral hari ini…memang
betul kami susah tetapi setiap bulan saya terima bantuan dari ZPP dan
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Mereka datang bertanya sama ada saya memang tidak mampu menyediakan
pakaian dan tiada duit untuk anak-anak bersekolah dan saya menafikannya
kerana telah menyiapkan kelengkapan sekolah mereka…cuma anak bongsu yang
tingkatan satu itu lambat mendaftar kerana baru tahu dia bersekolah di
situ,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Permatang
Rawa pada Rabu.
Gambar mengenai seorang pelajar tingkatan satu yang baru mendaftar
persekolahan semalam kerana dikatakan terpaksa meminjam pakaian abangnya
yang menuntut di tingkatan empat sekolah yang sama, menjadi viral.
Remaja itu dikatakan dari keluarga susah selepas ibu bapanya bercerai dan ibunya tidak bekerja.
Fadzilah berkata beliau yang mengambil upah mengopek ikan bilis
dengan pendapatan RM8.50 sehari, sedih dengan cerita yang menjadi viral
itu dan berharap mereka yang memuat naik gambar itu dalam laman sosial
dapat tampil memberi penjelasan sebenar.
“Setiap bulan saya terima bantuan sebanyak RM400 dari ZPP dan RM300
dari JKM, ia sedikit sebanyak membantu meringankan beban saya untuk
menampung perbelanjaan tiga anak berusia 13 hingga 16 tahun,” katanya.
Beliau yang bercerai dengan suami sejak lima tahun lepas, tinggal di
rumah yang dibina menerusi Projek Perumahan Rakyat di Mukim 7 Permatang
Rawa.
Sementara itu, Penolong Pengurus Besar ZPP Mohd Khairi Ghazali
berkata pihaknya segera ke rumah keluarga berkenaan selepas mendapat
maklumat menerusi laman sosial seperti yang diviralkan untuk melihat
sendiri keadaan mereka.
“Kami juga terkejut kerana memang sebelum ini keluarga ibu tunggal itu menerima bantuan ZPP sejak 2012,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
No comments:
Post a Comment