Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini memberi jaminan kepada para pendeposit-nya bahawa simpanan mereka di TH adalah selamat.
TH telah menjadi sasaran pelbagai spekulasi di dalam laman-laman sosial
dan blog sejak beberapa hari ini mengenai tarikh pembayaran Bonus
Pendeposit TH 2015 dan surat Bank Negara Malaysia (BNM) .
Seperti yang telah dinyatakan oleh TH, tarikh pengumuman dan pembayaran
Bonus TH adalah kebiasaannya pada suku pertama setiap tahun (Jan –
Mac). TH ingin memberi jaminan bahawa tidak terdapat sebarang kelewatan
dalam mengumumkan bonus kepada para pendeposit. Sebelum pengumuman
dibuat, TH perlu mengambil kira keadaan ekonomi semasa, memastikan semua
proses auditan dilalui dan kelulusan dalaman diperolehi sebagai
sebahagian daripada proses urus tadbir yang baik.
Tahun 2015 adalah mencabar dan hasil daripada Strategi Alokasi Aset dan
Pengurusan Risikonya ia telah dapat menjana pulangan pendapatan yang
baik. Walaubagaimanapun TH juga perlu membuat persediaan yang rapi untuk
menghadapi cabaran ekonomi 2016 dan masa hadapan agar ia lebih berdaya
saing untuk menghadapi situasi tersebut. Oleh yang demikian dalam
menetapkan kadar bonus TH mesti mengambil kira keadaan ekonomi semasa
termasuk pasaran saham, harga minyak dan kadar pertukaran mata wang
yang akan memberi kesan kepada ekonomi negara.
Prestasi Kewangan TH berada dalam keadaan baik disokong oleh
aset-asetnya yang kukuh termasuk peratusan mudah tunai yang tinggi.
Contohnya aset tunai sahaja pada 31 Disember 2015 adalah sebanyak RM10.7
bilion.
Di samping itu, pendeposit tidak perlu risau kerana simpanan mereka di
TH dijamin oleh Kerajaan, sebagaimana yang termaktub dalam Akta Tabung
Haji. TH juga tidak pernah lari dari tujuan asal penubuhannya dalam
membantu umat Islam di Malaysia menunaikan Rukun Islam ke 5.
Merujuk kepada surat BNM yang menyatakan nilai aset TH lebih rendah dari
liabiliti, lebih-lebih lagi dalam situasi ekonomi yang mencabar dan
kelembapan pasaran saham. Untuk mengukuhkan kedudukan TH, BNM memberi
cadangan agar mengkaji semula polisi rizab TH.
Sebagai sebuah institusi kewangan Islam berkaitan kerajaan, TH sentiasa
bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan langkah dan keperluan
risiko dipatuhi. TH mengambil maklum saranan BNM untuk mengkaji semula
polisi rizabnya sebagai langkah penambahbaikan dan pengukuhan yang
berterusan.
Untuk makluman pendeposit, nilai Aset TH mestilah mengambil kira
keseluruhan nilai saksama potfolio pelaburan TH. Ini adalah kerana nilai
aset yang dinyatakan tidak mengambil kira potfolio pelaburan seperti
saham anak-anak syarikat atau syarikat bersekutu, serta aset perladangan
dan hartanah yang diduduki TH.
Sepanjang tahun kewangan 2014 dan 2015, nilai keseluruhan aset TH adalah
lebih tinggi daripada nilai liabiliti TH, dimana ia mengambil kira
kesemua nilai saksama potfolio pelaburan TH.
Ingin saya sarankan agar para pendeposit lebih berhati-hati dalam
menilai sesuatu berita yang disebarkan melalui media sosial. Oleh yang
demikian saya ingin menegaskan bahawa TH tidak menghadapi masalah
kewangan.
Tabung Haji juga tidak pernah lupa objektif penubuhannya dalam membantu
rakyat Malaysia untuk menunaikan haji. Prestasi cemerlang TH serta
pemberian subsidi haji dan bonus kepada pendeposit saban tahun
membuktikan kedudukan Kewangan TH adalah kukuh.
Insyallah, TH akan mengumumkan bonus pada awal bulan Februari 2016
setelah melalui proses-proses dalaman dan auditan interim seperti
lazimnya setiap tahun.
Tan Sri Ismee Ismail
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Tabung Haji
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Tabung Haji
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
No comments:
Post a Comment