KUALA LUMPUR : Rujuk jabatan agama dan jangan percaya 'bulat-bulat'
dakwah di media sosial walaupun tokoh itu berpenampilan 'warak', nasihat
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi
Dusuki.
Beliau khuatir kebebasan bersuara di media sosial memberi peluang kepada
sesetengah pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan
mendoktrinasikan fahaman sesat.
"Sekarang ini, sangat mudah untuk menipu, ada pula mereka yang jahat ambil peluang tipu soal-soal agama atas sebab tersendiri.
"Saya risau, mereka yang baharu jinak-jinak dalam bidang agama,
bersemangat untuk belajar, mencari jalan mudah, berguru dengan
video-video di YouTube contohnya, tanpa penjelasan sebenar," katanya
kepada Bernama.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai video-video
ceramah yang menjadi fenomena dan dikongsi di laman-laman media sosial.
Asyraf Wajdi berkata penularan dakwah bebas melalui media sosial jika
tidak ditapis dikhuatiri boleh mengundang kecenderungan perlakuan
ekstremisme.
"Pada zaman sekarang bukan sahaja ada 'Ustaz YouTube' malah 'Ustaz
WhatsApp' pun wujud serta lain-lain lagi, di mana mereka hanya perlu
merakamkan video mereka dan sebarkan kepada orang ramai melalui laman
sosial.
"Saya lihat masyarakat tidak lagi membaca dan hanya hendak mendapatkan
maklumat dengan melihat rakaman video dan itu sudah mencukupi bagi
mereka," katanya.
Justeru, beliau mencadangkan supaya jawatan 'pemantau' diwujudkan
melibatkan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia,
Kementerian Dalam Negeri dan pihak berkuasa agama supaya kegiatan ini
dapat dikekang.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:
Post a Comment