PUTRAJAYA : Jualan murah hanya boleh diadakan sekiranya 70
peratus daripada kesemua barangan dalam sesebuah premis diberi tawaran diskaun, tegas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
Kementerian itu dalam kenyataannya hari ini berkata syarat jualan
murah didapati telah disalahertikan sesetengah pihak dengan menyatakan
ia hanya boleh diadakan jika diskaun yang ditawarkan adalah sebanyak 70
peratus.
KPDNKK turut menjelaskan jualan murah yang diadakan mestilah tidak
melebihi 30 hari kecuali tarikh yang diwarta iaitu Jualan GP 1Malaysia,
Karnival Jualan Mega 1Malaysia serta Jualan Akhir Tahun 1Malaysia.
“Jualan murah pilihan peniaga tidak boleh diadakan terus menerus dan
perlu berhenti selama 14 hari sebelum memulakan jualan murah
seterusnya,” jelas kenyataan itu.
Kementerian itu menegaskan setiap peniaga yang ingin melaksanakan
jualan murah perlu mendapat kelulusan daripada KPDNKK dan nombor
pendaftaran jualan murah, tarikh jualan serta logo KPDNKK hendaklah
dicatatkan dalam apa jua pengiklanan.
Peniaga boleh membuat permohonan notis jualan murah secara dalam talian melalui njm.kpdnkk.gov.my.
KPDNKK berkata peniaga juga perlu mempamerkan harga sebelum dan
selepas diskaun pada setiap barangan yang terlibat dalam jualan murah.
Notis jualan murah hendaklah dipamerkan dan ditampal di tempat yang
mudah dilihat manakala butiran barangan dan harga boleh dipamerkan dalam
bentuk yang mudah dilihat pengguna.
Syarikat yang melanggar Peraturan-peraturan Perihal Dagangan (Harga
Jualan Murah) (Pindaan) 2015 untuk kali pertama boleh didenda sehingga
tidak melebihi RM100,000 dan RM200,000 bagi kesalahan kedua dan
berikutnya.
Bagi pesalah individu, kesalahan kali pertama akan didenda tidak
melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun dan bagi
kesalahan kedua denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak
melebihi lima tahun, tambah kenyataan itu.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
No comments:
Post a Comment