KUALA LUMPUR : Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) mempersoal hasrat
Rayani Air mahu mendapatkan khidmat Mursyidul Am PAS, Datuk Dr. Haron
Din sebagai Penasihat Syariah syarikat penerbangan itu.
Pengarah Hal Ehwal Ekonominya, Syed Marwan Mujahid turut mempersoalkan
mengapa Rayani Air yang tidak pernah mempunyai panel penasihat syariah
atau ahli lembaga syariah tetapi berani menyatakan syarikat penerbangan
itu patuh syariah sebelum ini.
“Sejauh mana Rayani Air patuh syariah? Apa definisi patuh syariah? Siapa
yang mengesahkan mereka patuh syariah? Adakah cukup pramugari pakai
tudung dan tidak hidang arak boleh dipromosikan sebagai patuh syariah.
“Berita terbaru, Datuk Dr Haron Din (Mursyidul Am PAS) nak dilantik
sebagai penasihat syariah. Jadi, adakah sebelum ini tiada panel
penasihat syariah atau ahli lembaga syariah?” katanya ketika diminta
mengulas perkara itu oleh sebuah portal berita.
Syed Marwan turut mengingatkan Rayani Air perlu memastikan aktiviti
perniagaan mereka yang didakwa sebagai patuh syariah bebas daripada
sebarang bentuk riba sama ada dalam mendapatkan modal, pelaburan dan
sebagainya.
“Dari sudut pengurusan kewangannya pula, adakah Rayani Air tidak
terlibat dengan riba dan menggunakan khidmat bank patuh syariah
sepenuhnya?” soalnya.
Beliau turut merendah-rendahkan operasi Rayani Air membuat bacaan doa
sebelum memulakan penerbangan kerana mendakwa ia sekadar mengisi
permintaan pengguna yang mahukan produk patuh syariah.
“Bagi saya, kalau dari sudut ekonomi, Rayani Air cuma ‘basic supply and
demand’. Rayani Air mengisi ‘demand’ pengguna yang mahukan produk patuh
syariah. Tapi persoalannya, ramai mana yang sebenarnya yang ‘demand’
produk patuh syariah?,” soalnya lagi.
Syarikat penerbangan terbaharu Malaysia, Rayani Air dengan slogan ‘Jom
Terbang‘ sebelum ini menerima pujian ramai netizen menerusi lelaman
media sosial tempatan ekoran pendiriannya yang amat mematuhi syariah.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:
Post a Comment