KUALA LUMPUR : Bank Dunia mengunjurkan pertubuhan
ekonomi Malaysia akan perlahan kepada 4.5 peratus tahun ini daripada 4.7
peratus pada 2015 berikutan permintaan domestik yang perlahan, namun
memperoleh manfaat ekoran kurangnya pergantungan kepada hasil berkaitan
komoditi.
Menurut Prospek Ekonomi Global Bank Dunia bagi Januari 2016,
pertumbuhan Malaysia hampir sama dengan unjuran ekonomi membangun, yang
dijangkakan berkembang 4.8 peratus tahun ini berbanding 4.3 peratus pada
2015.
Sementara itu, pertumbuhan dunia dijangkakan meningkat sederhana
kepada 2.9 peratus daripada 2.4 peratus tahun lepas, dipacu oleh
pertumbuhan yang lebih kukuh di ekonomi maju.
“Pertumbuhan yang lebih kukuh akan bergantung kepada momentum
berterusan di negara berpendapatan tinggi, kestabilan harga komoditi,
dan peralihan beransur-ansur China ke aras penggunaan yang lebih tinggi
dan model pertumbuhan berasaskan perkhidmatan,” kata Bank Dunia.
Ia berkata pertumbuhan ekonomi dunia dijangka kurang berbanding tahun
lepas selepas kejatuhan harga komoditi, dagangan, aliran modal dan
episod turun naik kewangan yang mengekang aktiviti ekonomi.
Di Asia Timur dan Pasifik, Bank Dunia mengunjurkan pertumbuhan
kawasan berkenaan perlahan kepada 6.3 peratus tahun ini daripada 6.4
peratus pada 2015 disebabkan pertumbuhan yang lebih perlahan di China.
“Pertumbuhan di China dijangkakan susut kepada 6.7 peratus tahun ini berbanding 6.9 peratus tahun lepas,” katanya.
Ia berkata pertumbuhan yang Perlahan dalam ekonomi kedua terbesar
dunia itu dijangkakan mengimbangi peningkatan kecil pertumbuhan dalam
negara ASEAN tahun ini.
Namun katanya rantau ini dijangkakan menerima manfaat daripada
pengukuhan dalam pemulihan ekonomi maju, harga bahan api yang rendah,
kestabilan politik dan kedudukan yang lebih baik dalam pasaran kewangan
dunia walaupun dasar monetari dijangkakan di US lebih ketat.
Ia berkata pengukuhan dagangan dan pelaburan serantau akan merangsang aktiviti ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan.
“Perjanjian perdagangan Perkongsian Trans-Pasifik jika dilaksanakan
akan meningkatkan perdagangan dan pertumbuhan di rantau ini,” kata Bank
Dunia.
Ia berkata pertumbuhan di Asia Timur dan Pasifik perlahan kepada
anggaran 6.4 peratus pada 2015 daripada 6.8 peratus sebelumnya
disebabkan penyusutan berterusan pertumbuhan i China dan pengeksport
komoditi, termasuk Indonesia dan Malaysia.
Penyusutan itu bagaimanapun diimbangi oleh prestasi kukuh import
komoditi, terutama Vietnam dan Filipina, dan pemulihan sederhana di
Thailand.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
No comments:
Post a Comment