Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata
Tun Dr Mahathir Mohamad sanggup melakukan apa sahaja termasuk
mempergunakan orang lain demi mencapai agenda politik peribadinya.
Annuar berkata bekas perdana menteri itu merupakan seorang strategis
dan sepanjang karier politiknya, matlamatnya sentiasa menghalalkan cara.
“Beliau seorang strategis. Kita perlu lihat beberapa langkah ke
hadapan termasuk apa yang telah dilakukan baru-baru ini (Deklarasi
Mahathir yang bertujuan menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Tun Razak).
“Bagi Dr Mahathir, (apabila bersekongkol dengan pembangkang),
matlamat menghalalkan cara dan beliau sangat cekap dalam menggunakan
orang lain demi merealisasikan impiannya,” kata Annuar ketika menjadi
tetamu program ‘Soal Jawab’ di TV3, Sri Pentas, hari ini.
Annuar yang juga Anggota Parlimen Ketereh berkata permainan politik
itu juga dapat dilihat sepanjang beliau (Dr Mahathir) memimpin negara
ini sebagai perdana menteri ke-4.
“Ada satu waktu, beliau tidak suka kepada Tengku Razaleigh Hamzah
atau Ku Li kerana sebab tertentu. Bayangkan, Ku Li, orang yang bina PWTC
(Pusat Dagangan Dunia Putra), urus perbelanjaan parti, juga Naib
Presiden (ketika itu) tetapi Mahathir tidak suka caranya.
“Oleh kerana beliau tidak mahu mengambil Ku Li, maka atas kepintaran
politiknya, jawatan itu dipertandingkan dan secara langsung dia beri
sokongan kepada (Datuk Seri) Musa Hitam (kini Tun) untuk mengalahkan Ku
Li,” katanya.
Annuar mendakwa, namun selepas Dr Mahathir tidak selesa dengan
pengaruh Musa, beliau mula mempergunakan Tun Ghafar Baba menyingkirkan
Musa.
Namun selepas itu, Dr Mahathir berpaling tadah lagi dan memberi
sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga memenangi jawatan
menjadi timbalan presiden UMNO dengan menyingkirkan Ghafar.
“Apabila perjalanan politik Anwar menjadi kuat malah membina
kekuatannya sendiri yang akhirnya menimbulkan lagi kebimbangan, maka Dr
Mahathir sekali lagi menggunakan strategi dan permainan yang sama untuk
menyingkirkan Anwar,” katanya.
Annuar berkata Dr Mahathir kemudian sekali lagi mempergunakan Tun
Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah yang merupakan anak jati Pulau Pinang
untuk menjadi Timbalan Presiden UMNO yang seterusnya menjadi Perdana
Menteri.
“Usaha itu dengan harapan kuasa masih di tangan Dr Mahathir sehingga
di saat beliau tidak menyukai Paklah, Datuk Seri Najib pula digunakan.
Dan terkini, beliau menggunakan Tan Sri Muhyiddin Yassin pula untuk
mengatur segalanya bagi memastikan usaha beliau menjatuhkan Najib
berjalan lancar.
“Memandangkan usaha tersebut gagal, Dr Mahathir menjelmakan pula
Deklarasi Rakyat (Jumaat lepas). Malah beliau sanggup bekerjasama dengan
pembangkang setelah tidak mendapat sokongan dari UMNO sendiri termasuk
dalam isu pemecatan anaknya, (Datuk Seri) Mukhriz,” dakwanya.
Annuar berkata apa yang dilakukan Mahathir itu jelas tidak
melambangkan perjuangannya dalam parti tetapi lebih kepada dendam,
kepentingan dan agenda peribadi.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
No comments:
Post a Comment