Thursday, March 10, 2016
Berita Baik Ini..... Inisiatif Pengurangan Cukai Diharap Bantu Rakyat Urus Kewangan
Pelbagai inisiatif kerajaan berkaitan pengurangan cukai bagi tahun
taksiran 2015 diharap dapat membantu rakyat dalam menguruskan kewangan
dan menangani kesan kenaikan kos sara hidup.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ramai akan mula
memfailkan penyata cukai sama ada di pejabat-pejabat Lembaga Hasil Dalam
Negeri seluruh negara atau secara dalam talian.
"Langkah ini adalah perlu bagi memastikan semua individu yang berkenaan
telah membayar cukai yang bertepatan serta menerima pulangan cukai di
mana berhak selain mengelakkan berlakunya ketirisan," katanya dalam
catatan dalam laman blog NajibRazak.com.
Beliau berkata dalam Bajet 2015, kerajaan telah mengumumkan beberapa
inisiatif termasuk kadar cukai pendapatan individu dikurangkan satu
hingga tiga mata peratusan dan menerusi langkah itu, sebanyak 300,000
orang tidak lagi perlu membayar cukai pendapatan.
Katanya golongan berkeluarga yang berpendapatan RM4,000 sebulan tidak
lagi mempunyai tanggungan cukai selain kadar cukai maksimum 26 peratus
pula dikurangkan kepada 24, 24.5 dan 25 peratus.
Selain itu, Najib berkata dalam Pengubahsuaian Bajet 2016 pula, kerajaan
telah mengumumkan akan memberi pelepasan khas cukai sebanyak RM2,000
kepada pembayar cukai individu berpendapatan RM8,000 sebulan ke bawah
untuk tahun taksiran 2015, sebagai langkah tambahan membantu rakyat.
Melalui langkah ini, katanya, kerajaan akan mengalami kerugian sebanyak
RM350 juta tetapi pada masa sama dapat memberi penjimatan bayaran cukai
individu sehingga RM475 serta memanfaatkan sebanyak dua juta pembayar
cukai.
"Saya harap kesemua inisiatif yang telah dan akan diambil ini
sedikit-sebanyak dapat membantu rakyat dalam menguruskan kewangan mereka
dan menangani kesan kenaikan kos sara hidup, Insya-Allah," katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment