Wednesday, March 09, 2016
Ku Li Nafi Sokong Gerakan Mahathir Untuk Guling Najib
Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah yang
sebelum ini digembar-gemburkan menyokong deklarasi anti Najib yang
dilancarkan oleh Tun Mahathir Mohamad pada Jumaat lepas, hari ini tampil
menafikan penglibatannya.
Tengku Razaleigh yang lebih dikenali dengan panggilan Ku Li
menjelaskan dakwaan kononnya beliau menyokong deklarasi yang menolak
kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu adalah tidak
benar walaupun namanya disebut dalam majlis tersebut.
“Saya tidak hadir,” katanya dipetik dari laporan Malaysiakini selepas ditanya pemberita di bangunan Parlimen hari ini.
“Saya tidak menyokong, saya tidak tahu apa pun,” ujarnya ringkas
ketika ditanya sama ada beliau menyokong kempen untuk mengulingkan Najib
yang digerakkan oleh Dr Mahathir dengan sokongan pemimpin pembangkang.
Jumaat lepas nama Ahli Parlimen Gua Musang itu disebut sebagai antara
pemimpin BN yang menyokong gerakan dianjurkan Dr Mahathir bersama DAP,
PKR dan beberapa NGO lain dalam usaha mereka untuk menggulingkan Perdana
Menteri.
Beliau bagaimana pun tidak hadir dan tempat duduk beliau untuk majlis
tandatangan deklarasi tersebut telah digantikan dengan bekas Pengerusi
Bersih 2, Ambiga Srevaneesan.
Dalam pada itu, mengulas mengenai kempen dalam talian untuk menyokong
Najib selaku Perdana Menteri yang dipilih secara demokrasi, Tengku
Razaleigh berkata beliau menyokong usaha kempen tersebut.
“Saya menyokong penuh Datuk Seri Najib Tun Razak kerana usahanya yang
telah membawa negara ini ke tempat yang lebih baik,” katanya dipetik
dari laporan media.
Sementara itu, selain Tengku Razaleigh, dua lagi individu berpengaruh
yang turut menafikan penglibatan mereka dengan gerakan Dr Mahathir
untuk menggulingkan Najib itu ialah Tan Sri Mohd. Zaman Khan Rahim Khan
dan bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Shamsuri Arshad.
“Saya hairan macam mana nama saya boleh dikaitkan sedangkan saya
berada di hospital. Mungkin mereka mahu tunjukkan pada rakyat bahawa
deklarasi itu mendapat sokongan kuat.
“Saya tidak akan sama sekali bersetuju dengan perbuatan menggulingkan
kerajaan, saya ada pendirian sendiri,” kata Zaman Khan dipetik dari
laporan media semalam.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment