KUALA TERENGGANU : Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata tindakan
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Datuk Seri Ahmad Said
mengemukakan cadangan usul undi tidak percaya terhadapnya sebagai
Menteri Besar Terengganu, dibuat atas dorongan pihak tertentu.
"Saya telah diingatkan supaya berhati-hati dan akan ada gerakan luar yang mahu menjatuhkan saya.
"Saya mendapat maklumat tersebut dari Kuala Lumpur," kata Ahmad Razif
ketika berucap pada majlis perjumpaan khas Barisan Nasional (BN),
Veteran UMNO dan Mubarak Terengganu di sini, Rabu malam.
Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu kecoh pada Selasa,
berikutan cadangan usul undi tidak percaya itu, bagaimanapun berjalan
lancar pada Rabu.
Malah, Adun Kijal yang mengemukakan cadangan itu tidak langsung
kelihatan sehingga selesai sesi penggulungan titah ucapan Sultan
Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pada persidangan DUN ke-13 itu.
Ahmad Razif dalam ucapannya berkata agendanya kini adalah untuk
memastikan BN Terengganu terus kuat dan mencipta sebanyak mungkin
kejayaan agar BN mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU-14) akan datang.
"Apa berlaku kepada saya sekarang tidak penting, jika ditakdirkan saya
terpaksa berkorban, saya rela demi memastikan UMNO dan BN terus kekal
berkuasa pada PRU-14 nanti," katanya.
Ahmad Razif menyifatkan tindakan Ahmad itu sebagai satu hikmah kerana
beliau kini dapat mengetahui siapa musuh daripada dalam yang cuba
menjatuhkan BN di Terengganu.
Sementara itu, Biro Penerangan Persatuan Siswazah Terengganu (PERSIST)
dalam satu kenyataan, berharap semua pihak perlu berlapang dada, memberi
ruang dan peluang serta bersama-sama Ahmad Razif membangunkan
Terengganu.
"Pemimpin yang baik memimpin masyarakat ke arah penyatuan, dan bukanlah
perpecahan. Mari kita semua, bawa negeri kita agar mampu menjadi negeri
terhebat, terbaik dan natijah untuk ini adalah rakyat yang mendapat
impak positifnya," menurut kenyataan itu.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:
Post a Comment